Khamis, 26 Julai 2018 | 12:16pm
GOBIND Singh Deo. - Foto Zulfadhli Zulkifli
GOBIND Singh Deo. - Foto Zulfadhli Zulkifli

DFTZ diperkasa untuk lonjak e-dagang

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus menambah baik Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) ke arah memperkasakan aktiviti e-dagang perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negara untuk menembusi pasaran dunia.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, berkata pelbagai usaha sedang dan akan dilakukan termasuk dari sudut undang-undang bagi menjamin hak serta kepentingan PKS.

Katanya, antara usaha diambil adalah menggalakkan pembabitan semua pihak dalam platfom perniagaan merentasi sempadan itu.

"Sejak dilaksanakan, DFTZ memberi impak positif ke arah merealisasikan matlamat meningkatkan penyertaan PKS dalam transaksi e-dagang merentasi sempadan.

"Sehingga kini, lebih 3,300 PKS tempatan menyertai platform DFTZ.

"Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) turut bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan SME Corp untuk menggalakkan lebih banyak penyertaan PKS.

"Berdasarkan pencapaian awal dan maklumat MATRADE sehingga April lalu, sejumlah 70 PKS yang menyertai platfom ini menjana jualan berjumlah RM52.1 juta dengan eksport bernilai RM18.1 juta," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Shahar Abdullah (BN-UMNO Paya Besar pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohd Shahar bertanya status dan perkembangan terkini pelaksanaan DFTZ yang dilancarkan pada 2017 dan pendirian kerajaan meneruskan usaha itu untuk meningkatkan eksport produk PKS kepada RM160.95 bilion menjelang 2025.

Menjawab soalan tambahan sama ada kerajaan bercadang mewujudkan undang-undang supaya berasa selamat menguruskan ekonomi digital, Gobind berkata, ia berada dalam perancangan kerajaan.

Beliau berkata, kementerian sedia melihat bentuk kerjasama dengan agensi seperti FELDA dan FELCRA yang boleh membantu kawasan luar bandar.

"Bagi melaksanakan projek ini, kemudahan dalam negara adalah penting dan kita perlu memastikan seluruh negara mempunyai talian Internet demi manfaat semua lapisan masyarakat," katanya.

Berita Harian X