Selasa, 24 Julai 2018 | 2:53pm
DATUK Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto NSTP
DATUK Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto NSTP

Kes HFMD di semua negeri kecuali Sarawak meningkat

PUTRAJAYA: Sebanyak 35,886 kumulatif kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) direkodkan di seluruh negara bermula 1 Januari hingga 23 Julai lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kebanyakan negeri kecuali Sarawak menunjukkan peningkatan kes pada tahun ini berbanding tahun lalu.

Beliau berkata, jumlah premis ditutup di seluruh negara kini adalah 469 buah iaitu 217 taska, 223 tadika atau prasekolah, beberapa kelas dari 27 sekolah serta masing-masing sebuah sekolah di Pulau Pinang dan Pahang.

"Kementerian sudah mengadakan mesyuarat antara agensi yang bertanggungjawab dalam pemantauan taska, tadika, prasekolah dan sekolah rendah pada 19 Julai lalu bertujuan membincangkan strategi bagi pencegahan dan kawalan HFMD," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pada minggu ke-29 iaitu 15 hingga 21 Julai lalu, sebanyak 3,852 kes HFMD dilaporkan berbanding 2,346 kes pada minggu ke-28 iaitu 8 hingga 14 Julai lalu.

Dr Noor Hisham berkata, berdasarkan angka bagi kedua-dua minggu itu, berlaku peningkatan sebanyak 1,506 kes HFMD atau bersamaan 64.2 peratus.

Menurutnya, pada 23 Julai iaitu hari kedua minggu ke-30, sebanyak 564 kes HFMD dilaporkan di seluruh negara.

Berhubung mesyuarat bersama agensi berkaitan baru-baru ini, Dr Noor Hisham berkata, pegawai Kementerian Pendidikan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional bersetuju dalam mencegah dan mengawal HFMD.

"Pelaksanaan dan pengukuhan saringan di pintu masuk taska, tadika, prasekolah dan sekolah rendah (Darjah Satu hingga Tiga) perlu bagi memastikan hanya kanak-kanak tiada tanda jangkitan HFMD saja dibenarkan masuk ke kelas.

"Bagi meningkatkan tahap kebersihan di luar dan di dalam premis pula, setiap alatan mainan kanak-kanak dan keperluan perlu disinfeksi (memusnahkan mikro-organisme yang dapat menimbulkan penyakit) secara harian setiap kali sesi persekolahan tamat," katanya.

Katanya, kanak-kanak dan pelajar juga perlu diajar cara membasuh tangan yang betul, membuang sampah di tong sampah disediakan serta mencuci tangan selepas ke tandas, sebelum dan selepas makan.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, mesyuarat sama turut membincangkan kebersihan taman permainan di pasar raya dan kompleks membeli-belah.

Selain itu, katanya, cadangan bagi menyediakan cecair pencuci tangan di tempat berkenaan perlu diteliti dan perlu dibincangkan lebih lanjut.

"Mesyuarat juga berpendapat pentingnya tanggungjawab sosial korporat dalam melaksanakan inisiatif ini sekali gus membantu melaksanakan langkah pencegahan dan kawalan penyakit HFMD," katanya.

Sementara itu, katanya, kerajaan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 11/2016 memberi cuti kuarantin kepada kakitangan kerajaan sekiranya anak atau jagaannya menghidap enam jenis penyakit termasuk HFMD.

"Ia bagi memudahkan ibu atau bapa menguruskan anak khususnya apabila dimasukkan ke wad atau apabila pusat jagaan anak diarahkan tutup oleh pihak berkuasa.

"Pada masa sama, wakil Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia yang turut serta dalam mesyuarat itu akan meneliti perkara berkenaan (cuti kuarantin) sekiranya mahu langkah sama diambil oleh sektor swasta," katanya.

Berita Harian X