Selasa, 24 Julai 2018 | 9:29am
Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. - Foto Asyraf Hamzah
Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. - Foto Asyraf Hamzah

Kedudukan Islam, Taska tumpuan sidang hari ini

KUALA LUMPUR: Persoalan mengenai sejauh mana komitmen kerajaan menjamin kemuliaan agama Islam dan pembaharuan yang berjaya dilaksanakan kerajaan berdasarkan nasihat Majlis Penasihat Kerajaan dijangka 'menghangatkan' sidang Dewan Rakyat hari ini.

Berdasarkan Aturan Mesyuarat Dewan, persoalan mengenai jaminan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, bekalan daging pada Hari Raya Aidiladha dan mengawal selia pusat asuhan kanak-kanak dibangkitkan Ahli Parlimen dalam Waktu Pertanyaan Menteri (MQT).

Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (BN-UMNO Kuala Krau) meminta Perdana Menteri menyatakan sejauh manakah kerajaan dapat memastikan kedudukan agama Islam terjamin kemuliaannya bersandarkan Perkara 3(1) Perlembagaan.

Dr Hasan Bahrom (PH-AMANAH Tampin) pula bertanya kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani apakah usaha diambil kerajaan bagi memastikan bekalan ternakan hidup mencukupi sebagai persediaan bagi menyambut Hari Raya Aidil Adha.

Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) pula bertanya Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengenai langkah segera kementerian untuk mengawal selia pusat asuhan kanak-kanak supaya tragedi penderaan seperti dialami Allahyarham Adam Rayqal tidak berulang.

Dalam sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan pula, Perdana Menteri ditanya oleh Datuk Rozman Isli (BN-UMNO Labuan) mengenai apakah nasihat diberikan lima orang individu Majlis Penasihat Kerajaan serta jenis pembaharuan yang berjaya dibawa dalam pentadbiran Kerajaan khususnya bagi tujuan sistem penyampaian.

Soalan yang dijangka turut menarik perhatian ialah daripada Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (PH-PKR Kapar) yang meminta Menteri Tenaga Manusia menyatakan langkah kerajaan sekiranya syarikat luar mengambil alih syarikat tempatan dan tidak mahu mengambil pekerja tempatan.

Sementara itu, Fong Kui Lun (PH-DAP Bukit Bintang) mengemukakan usul dengan mencadangkan kerajaan

memulihkan semula Pilihan Raya Kerajaan Tempatan bagi membolehkan warga kota memilih sendiri wakil untuk berkhidmat dalam Majlis Kerajaan Tempatan.

Khoo Poay Tiong (PH-DAP Kota Melaka) pula membangkitkan usul menuntut Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Othman Mahmood dan lima anggota SPR, Datuk Md Yusop Mansor, Datuk Abdul Aziz Khalidin, Sulaiman Narawi, Datuk K Bala Singam dan Datuk Leo Chong Cheong meletak jawatan anggota SPR

Berita Harian X