Ahad, 22 Julai 2018 | 5:55pm

Dewan Rakyat bakal gamat, hangat

KUALA LUMPUR: Isu berkaitan pinjaman kewangan dari Jepun, hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dijangka menjadi tumpuan sesi Dewan Rakyat untuk minggu kedua, bermula esok.

Pada sesi soal jawab pagi, Ketua Pembangkang yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (BN-UMNO Bagan Datuk) bakal mengemukakan soalan kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkaitan rasional Malaysia ingin mendapatkan pinjaman dari Jepun.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam lawatannya ke Jepun pada Jun lalu, antara lain meminta Jepun mempertimbangkan pemberian pinjaman mudah bagi membantu Malaysia menangani masalah kewangan negara.

Isu LGBT bakal dibangkitkan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-UMNO Jerantut) kepada Perdana Menteri dijangka turut menggamatkan sesi sidang Dewan Rakyat.

Soalan Ahmad Nazlan berkisar kepada sama ada kerajaan akan mengambil tindakan terhadap penularan LGBT yang semakin membimbangkan masyarakat, selaras peruntukan Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Islam adalah agama bagi Persekutuan.

Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, memohon penjelasan Kementerian Pendidikan mengenai justifikasi penghutang PTPTN yang ingkar membayar balik pinjaman dikeluarkan daripada senarai hitam Imigresen.

Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-MCA Ayer Hitam) akan mengemukakan usul supaya Menteri Pendidikan memberi pengiktirafan segera kepada Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bagi membolehkan lepasan sijil itu memohon kemasukan ke universiti awam pada sesi pengambilan awal September ini.

Ka Siong turut mengusulkan Dewan Rakyat menggesa Perdana Menteri membatalkan projek kereta nasional baharu memandangkan kegagalan Proton perlu diambil iktibar dan memberi tumpuan memperkukuhkan industri automotif selaras Dasar Automotif Nasional.

Turut dijangka menghangatkan dewan esok ialah usul Khoo Poay Tiong (PH-DAP Kota Melaka) yang mencadangkan Dewan Rakyat menyatakan kehilangan kepercayaan dan ketidakyakinan terhadap Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Othman Mahmood dan lima anggota SPR lain iaitu Datuk Md Yusop Mansor, Datuk Abdul Aziz Khalidin, Sulaiman Narawi, Datuk K Bala Singam serta Datuk Leo Chong Cheong.

Berita Harian X