Ahad, 22 Julai 2018 | 2:34pm

Pulau Jerejak, Sungai Buloh dicadang jadi tapak warisan UNESCO

BALIK PULAU: Pembangunan yang dirancang untuk Pulau Jerejak di sini, dikhuatiri menjejaskan usaha kerajaan mewartakannya sebagai tapak warisan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik, berkata ia susulan maklum balas diterima kementeriannya berhubung beberapa projek pembangunan berskala besar yang dirangka di pulau berkenaan.

Berikutan itu, katanya, surat rasmi bagi menyuarakan kebimbangan berkenaan sudah dikeluarkan, Jumaat lalu, dan akan dihantar kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, minggu depan.

"Ini kerana, Jabatan Warisan Negara sedang mengusahakan permohonan untuk mendapatkan penarafan tapak warisan dunia di Pulau Jerejak, Pulau Pinang dan Sungai Buloh, Selangor yang muncul sebagai pusat pengasingan koloni kusta pertama di dunia.

"Bagaimanapun, kita ada menerima maklum balas mengenai rancangan pembangunan berskala besar di Pulau Jerejak, termasuk pembinaan jambatan merentasi selat yang menghubungkan pesisir pantai ke kawasan berkenaan.

"Ia dikhuatiri akan mengakibatkan usaha mendapatkan penarafan berkenaan yang dimulakan sejak dua tahun lalu gagal, jika pembangunan berskala besar dibina dan mengubah struktur asas sejarah kawasan berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Gotong-Royong bersama penduduk Taman Pokok Kenanga di pintu air Sungai Titi Teras, Balik Pulau, dekat sini, hari ini.

Pusat Kawalan Kusta Negara Sungai Buloh berkeluasan 227.43 hektar diisytiharkan sebagai tempat pengasingan koloni kusta kerana ketika itu belum ada ubat yang boleh menyembuhkan penyakit berkenaan, pada 1926.

Pusat berkenaan yang sebelum ini dikenali sebagai Leprosarium Sungai Buloh, dibuka secara rasmi oleh Penguat kuasa Perubatan pertama, Dr Gordon Alexander Ryrie, sejak Ogos 1930, dan berjaya menghasilkan ubat Dapsone bagi membolehkan pesakit kusta mendapatkan rawatan sepanjang hayat, pada 1940.

Dalam pada itu, Muhammad Bakhtiar memaklumkan pihaknya belum menerima maklum balas berhubung cadangan kerajaan Pulau Pinang mahu mengemukakan permohonan untuk mewartakan Bukit Bendera sebagai tapak simpanan biosfera warisan UNESCO.

"Kita pun tidak pasti lagi dengan cadangan ini dan mungkin akan menyokong usaha berkenaan, sekiranya sudah menerima maklum balas mengenai permohonan berkenaan daripada kerajaan Pulau Pinang.

"Ini pertama kali saya mendengar mengenai cadangan ini dan kita mungkin menghantar pasukan khas untuk membantu usaha berkenaan, jika kerajaan negeri komited mahu mendapatkan penarafan berkenaan," katanya yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau.

Berita Harian X