Ahad, 22 Julai 2018 | 10:22am
IBRAHIM menunjukkan borang perkahwinan yang dikeluarkan Majlis Agama Islam Narathiwat.
IBRAHIM menunjukkan borang perkahwinan yang dikeluarkan Majlis Agama Islam Narathiwat.

Satu lagi kes budak nikah bawah umur

TAKBAI, Selatan Thailand: Baru saja isu perkahwinan rakyat Malaysia dengan budak perempuan 11 tahun warga Thai bulan lalu, kini timbul lagi kes perkahwinan budak bawah umur.

Bezanya, pernikahan membabitkan budak perempuan 13 tahun dengan pemuda berusia 19 tahun yang turut menggunakan khidmat kadi dari Thailand, berita perkahwinan mereka tidak tersebar dalam media sosial seperti kes terdahulu kerana kedua-dua pasangan itu adalah warga Malaysia.

Nikah di masjid

Menurut kadi yang menikahkan mereka, Ibrahim Husin, 67, akad nikah pasangan itu diadakan di masjid Kampung Pulau Nibong pada 20 Jun, dua hari selepas pasangan kontroversi bernikah di Pekan Sungai Golok.

"Budak perempuan 13 tahun dan pasangannya menemui saya bersama dua saksi dan wali yang juga bapa saudara pengantin.

"Bapa saudara itu memaklumkan kepada saya gadis itu berasal dari Kelantan dan pemuda itu dari Terengganu ingin berkahwin dan beliau adalah wali mereka.

"Selepas saya meneliti segala dokumen berkaitan yang diserahkan saya bersetuju mengahwinkan mereka di Masjid Al-Uluwiah," katanya kepada NSTP, semalam.

Beliau memaklumkan kepada pasangan itu perkahwinan akan didaftarkan dengan Majlis Agama Islam Narathiwat dan mereka perlu mendaftar perkahwinan di Malaysia.

"Saya menjalankan tanggungjawab dengan betul. Mereka ingin berkahwin dan berdasarkan syariah, mereka boleh kahwin asalkan ada wali sama ada bapa pengantin perempuan, adik lelaki atau saudara terdekat dan perempuan itu mesti akil baligh," kata pesara guru yang berpengalaman lebih 20 tahun menjadi kadi.

Katanya, sudah banyak kali beliau menikahkan pasangan muda dan bawah umur dari Malaysia.

"Sebelum ini, saya pernah mengahwinkan beberapa pasangan dari Malaysia termasuk budak berusia 12 tahun dan bawah 16 tahun, tetapi perkahwinan mereka semuanya sah dari segi agama.

"Situasi begini biasa bagi saya dan juga penduduk Muslim di sini," katanya.

Berita Harian X