Khamis, 19 Julai 2018 | 2:37pm
KETUA Pembangkang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi keluar dari dewan persidangan selepas berucap pada Persidangan Dewan Rakyat Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
KETUA Pembangkang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi keluar dari dewan persidangan selepas berucap pada Persidangan Dewan Rakyat Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Zahid puji sikap profesional Kor Ming

KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat hari ini menyaksikan Timbalan Yang Dipertua, Ngar Kor Ming mendapat pujian Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana bersikap profesional ketika mengendalikan persidangan.

Walaupun baru hari pertama menduduki kerusi itu, Kor Ming bersikap adil terhadap Ahmad Zahid (BN-UMNO Bagan Datuk) apabila menegur RSN Rayer (PH-DAP Jelutong) kerana tidak meminta izin terlebih dulu untuk memohon penjelasan ketika perbahasan menjunjung kasih usul titah diraja.

"Yang Berhormat, suka saya mengingatkan Yang Berhormat perlu minta izin sebelum bangun dan bercakap. Kita mesti mengikut peraturan. Sila duduk. Teruskan Bagan Datuk," katanya.

Begitu juga apabila Rayer bangkit menggunakan Peraturan Mesyuarat untuk meminta Ahmad Zahid menarik balik perkataan 'munafik', Kor Ming tetap memberi peluang kepada Presiden UMNO itu untuk memberi penjelasan penggunaan perkataan itu.

"Ahli Yang Berhormat, beri ruang kepada Bagan Datuk membuat penjelasan," katanya walaupun menimbulkan rasa tidak puas hati kalangan penyokong kerajaan.

Ahmad Zahid menjelaskan perkataan munafik yang beliau sebutkan sebagai merujuk secara umum iaitu kepada mana-mana pihak yang berjanji tetapi tidak menunaikan janji berkenaan.

Beliau turut memetik ayat al-Quran dalam Surah al-Kafirun yang bermaksud "bagi kamu agama kamu, bagi aku agamaku" dan meminta Rayer menghormati apa yang diperkatakan itu dalam konteks kepercayaan agama Islam.

Selepas mendengar penjelasan itu, Kor Ming memutuskan Ahmad Zahid tidak perlu menarik balik perkataan munafik kerana tidak merujuk kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad atau mana-mana Ahli Parlimen.

Begitu juga apabila Rayer meminta Ahmad Zahid menarik balik perkataan kroni dalam Pakatan Harapan, Kor Ming dengan tenang meminta Ketua Pembangkang tidak diganggu untuk meneruskan ucapan.

Berita Harian X