Isnin, 16 Julai 2018 | 3:22pm
AMINUDDIN (tiga dari kanan) bersama NGO pada sidang media mengenai UEC di Taman Melawati, Kuala Lumpur. - Foto Syarafiq Abd Samad
AMINUDDIN (tiga dari kanan) bersama NGO pada sidang media mengenai UEC di Taman Melawati, Kuala Lumpur. - Foto Syarafiq Abd Samad

300 NGO bantah UEC

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) terdiri daripada 300 badan bukan kerajaan (NGO) Islam menggesa kerajaan tidak melayan tuntutan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).

Sambil menyifatkan UEC isu lama dan tidak wajar dibangkitkan semula, Ketua Sekretariat UMMAH, Aminuddin Yahya, berkata ia adalah sistem luar diambil daripada model pendidikan Taiwan dan China yang tidak mengambil kira elemen budaya, bangsa dan negara.

Katanya, sebarang tindakan kerajaan dan Kementerian Pendidikan bagi mengiktiraf UEC bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang dikanunkan melalui Akta Pendidikan 1996.

"Akta Pendidikan 1996 jelas memperuntukkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama, malah skopnya komprehensif dalam memenuhi keperluan negara dan memupuk perpaduan melalui pembangunan budaya, sosial, ekonomi dan politik selaras prinsip Rukun Negara.

"Justeru, UMMAH berpandangan sebarang keputusan yang mempunyai implikasi besar terhadap agama, bangsa dan negara perlu diperhalusi dengan lebih mendalam termasuk dibahaskan di Parlimen dengan mengambil kira kerangka Perlembagaan Persekutuan," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Turut hadir beberapa wakil NGO termasuk Timbalan Ketua Sekteriat UMMAH, Kamaruzaman Mohamad dan aktivis pendidikan, Mohd Nor Izzat Mohd Johari.

Aminuddin berkata, kenyataan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik pada 12 Julai lalu untuk mengiktiraf EUC disifatkan sebagai kurang matang.

Katanya, video mengenai kenyataan Dr Maszlee, bahawa `UEC adalah sebahagian daripada janji Pakatan Harapan, tetapi bukanlah ianya hendak dilaksanakan hari ini," yang tular di media sosial turut menunjukkan kerajaan tidak ada pendirian dan prinsip.

Pada 13 Julai lalu, Timbalan Menteri Pendidikan, Tio Nie Ching, memuat naik status di media sosial Facebook (FB) mengenai dialog antara kementerian dengan Dong Jiao Zong dengan menyataan bahawa ia tidak bersendirian dalam usaha pengiktirafan terhadap UEC dan akan melaksanakannya menerusi manifesto PH.

Aminuddin, berkata kerajaan tidak seharusnya akur dengan permintaan minoriti seperti NGO Dong Jiao Zong dalam meraih undi.

"Pendidikan bertujuan melahirkan manusia, kalau silap dibangunkan ia akan runtuh. Kerajaan perlu tegas dalam hal ini. Lagipun ini bukan isu baharu, malah masa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri pada tahun 90-an, beliau turut membantah.

"Bayangkan jika UEC dikeluarkan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) mengikut sukatan pelajaran dari Taiwan diluluskan, kelak tidak mustahil akan timbul tuntutan kaum lain untuk sijil daripada sekolah vernakular mereka diterima," katanya.

UMMAH akan menganjurkan himpunan aman seluruh negara sebagai bantahan terhadap UEC bermula 28 Julai ini.

Sementara itu, Mohd Nor Izzat, berkata menerusi undian dalam talian di Pendidik2u.my mengenai UEC selama tiga hari bermula 14 Julai lalu, seramai 43,100 orang tidak bersetuju.

Beliau berkata, proses undian akan diteruskan bagi membuktikan UEC dibantah banyak pihak.

"Ramai warga pendidik tidak bersetuju, malah banyak lagi isu berkaitan pendidikan yang harus menjadi perhatian menteri seperti kemudahan di sekolah serta penempatan guru," katanya.

Berita Harian X