Rabu, 11 Julai 2018 | 4:49pm
engarah Kesihatan negeri Pulau Pinang, Dr. Wan Mansor Hamzah. - Foto Ramdzan Masiam
engarah Kesihatan negeri Pulau Pinang, Dr. Wan Mansor Hamzah. - Foto Ramdzan Masiam

2 sekolah di Pulau Pinang ditutup akibat HFMD

GEORGETOWN: Dua sekolah di Pulau Pinang ditutup sepenuhnya apabila beberapa muridnya dijangkiti penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD), kata Pengarah Kesihatan negeri, Dr Wan Mansor Hamzah.

Beliau berkata, sekolah terbabit adalah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Shih Chung (cawangan) dan Sekolah Antarabangsa Tenby yang sebelum itu hanya satu kelas saja ditutup.

Bagaimanapun, katanya, berdasarkan pemeriksaan lanjut dijalankan, Jabatan Kesihatan mengambil keputusan menutup sepenuhnya dua sekolah terbabit buat sementara.

"Selain dua sekolah itu, enam kelas di SJKC Phor Tay juga diarahkan ditutup sejak semalam (kelmarin) apabila terdapat murid di situ turut dijangkiti penyakit berkenaan.

"Pada masa sama, kita juga mengenal pasti terdapat murid SJKC Chung San dan SJKC Sum Sun dijangkiti HFMD, tetapi kita masih menjalankan pemantauan serta penelitian sebelum mengambil sebarang keputusan sama ada hanya menutup kelas atau sekolah," katanya, di sini, hari ini.

HFMD adalah penyakit akibat jangkitan virus, khususnya daripada jenis Coxsackie A16 dan Enterovirus 71, yang menular melalui sentuhan langsung dengan cecair hidung, air liur, lepuh dan najis penghidapnya.

Antara gejalanya ialah demam, ruam atau lepuh di tapak tangan dan kaki serta ulser pada mulut dan lidah.

Dr Wan Mansor berkata, sehingga kini, terdapat 18 premis membabitkan Taska, pusat jagaan dan sekolah ditutup 10 hari bagi proses pembersihan berikutan terdapat jangkitan HFMD di premis berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata, sejak penyakit HFMD dilaporkan meningkat di Pulau Pinang, pihaknya sudah memeriksa 622 premis membabitkan prasekolah, Taska dan Tadika.

"Untuk kes ini, tiga murid dimasukkan ke hospital berikutan dijangkiti penyakit ini dan keadaan mereka dilaporkan stabil serta di bawah pemantauan doktor.

"Pihak kita juga sentiasa mengambil pelbagai langkah bagi membendung penularan penyakit ini dan terbaru dengan memberi taklimat kepada ibu bapa serta menguar-uarkan berhubung virus ini melalui radio supaya orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga," katanya.

Berita Harian X