Selasa, 10 Julai 2018 | 2:06pm
MENTERI Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim (kiri) diiringi Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Md Akin (tiga kiri) dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pembasmian Kemiskinan, Halimaton Shaadiah Saad (dua kiri) melihat produk keluaran Latex ketika melawat pameran selepas merasmikan Persidangan Industri Getah Kebangsaan 2018 di TH Hotel. - Foto Sharul Hafiz Zam
MENTERI Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim (kiri) diiringi Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Md Akin (tiga kiri) dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pembasmian Kemiskinan, Halimaton Shaadiah Saad (dua kiri) melihat produk keluaran Latex ketika melawat pameran selepas merasmikan Persidangan Industri Getah Kebangsaan 2018 di TH Hotel. - Foto Sharul Hafiz Zam

Projek Bandar Getah dipercepat

ALOR SETAR: Kerajaan bercadang mempercepatkan pembangunan projek Bandar Getah di Padang Terap, dekat sini bagi memacu industri getah negara

Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim, berkata projek terbabit yang dicadangkan ketika pentadbiran kerajaan terdahulu kini berada di peringkat perancangan dengan kerja pengambilan tanah sedang giat dilakukan.

"Kita memang bercadang meneruskan projek ini, Lembaga Getah Malaysia (LGM) akan menjadi perunding bagi membantu Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) membangunkan pelan utamanya.

"Projek ini dapat membantu rakyat Kedah dan industri getah negara, justeru kita akan lihat bagaimana ia boleh dipercepatkan dengan kerjasama kerajaan negeri," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Industri Getah Kebangsaan 2018 di sini, hari ini.

Projek Bandar Getah adalah antara projek utama yang diumumkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 membabitkan peruntukan sebanyak RM320 juta yang dimasukkan ke dalam Bajet 2016.

Ia dirancang dibangunkan di kawasan seluas kira-kira 600 hektar di Ladang Bukit Ketapang, Padang Terap dengan sasaran mewujudkan industri berteknologi tinggi berasaskan bahan getah.

Sementara itu, Teresa Kok berkata, pihaknya bersedia mencari mekanisme terbaik bagi mengawal ketidaktentuan harga getah di negara ini yang didorong oleh pelbagai faktor antaranya lambakan bahan itu.

Beliau berkata, penyelidian dan kajian mendalam perlu dilaksanakan dalam mencari kaedah terbaik berkaitan perkara terbabit bagi memastikan industri getah kekal relevan selain menjamin kebajikan kira-kira 500,000 pekebun kecil di negara ini.

"Industri getah negara kekal menjadi penyumbang ekonomi yang penting apabila merekodkan pendapatan eksport sebanyak RM32.3 bilion sepanjang tahun lalu, jadi dengan peranannya yang begitu penting, kita amat menyokong penyelidikan dan pembangunan industri ini.

"Kita tahu harga komoditi ini ada naik dan turunnya, justeru bagi membangunkan lagi industri getah, harus ada kajian mendalam dan perbincangan bagi membantu pengusaha getah dan pakar dalam bidang ini bertukar pandangan," katanya.

Sementara itu, Zairossani berkata, peningkatan penggunaan getah secara domestik mampu mengawal harga bahan itu yang kini berada jauh lebih rendah berbanding tahun lalu iaitu sekitar RM5.20 hingga RM5.30 sekilogram.

"Kita tiada kawalan harga getah dan kini ia dipengaruhi pelbagai faktor antaranya lambakan bekalan getah berikutan ada negara lain turut menjadi pengeluar getah khususnya Vietnam, Kemboja dan Laos selain faktor harga minyak dan tukaran wang asing.

"Justeri kita perlu tingkatkan penggunaan getah secara domestik kerana ia mampu mengawal harga bahan itu dan hanya mengeksport bahan getah dalam bentuk produk seperti sarung tangan kerana ia tidak terpengaruh dengan harga semasa, " katanya.

Berita Harian X