Isnin, 9 Julai 2018 | 4:23pm
MENTERI Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad menyampaikan ucapan pada Majlis Khas Menteri bersama Warga Kementerian Kesihatan. - Foto BERNAMA
MENTERI Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad menyampaikan ucapan pada Majlis Khas Menteri bersama Warga Kementerian Kesihatan. - Foto BERNAMA

1,616 kes HFMD dilaporkan di Pulau Pinang

PUTRAJAYA: Penularan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Pulau Pinang agak mencemaskan dengan 1,616 kes jangkitan dilaporkan hingga hari ini, kata Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad.

Bagaimanapun, beliau berkata, keadaan masih terkawal dan arahan sudah diberi kepada pihak berkaitan untuk melakukan siasatan serta membendung penularan wabak itu.

"Saya sudah berhubung dengan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Azman Abu Bakar sejak awal lagi ketika mengetahui perkara ini.

"Beliau (Dr Azman) sudah mengeluarkan arahan kepada semua pengarah (jabatan kesihatan) negeri dan pengarah hospital supaya segera mengambil langkah membendung supaya ia (HFMD) tidak terus menular," katanya kepada media selepas menyempurnakan majlis khas bersama warga Kementerian Kesihatan, di sini, hari ini.

HFMD adalah penyakit akibat jangkitan virus, khususnya daripada jenis Coxsackie A16 dan Enterovirus 71, yang menular melalui sentuhan langsung dengan cecair hidung, air liur, lepuh dan najis penghidapnya.

Antara gejalanya ialah demam, ruam atau lepuh di tapak tangan dan kaki, serta ulser pada mulut serta lidah.

Sebelum ini, media melaporkan 10 taman asuhan kanak-kanak (TASKA) di Pulau Pinang diarah tutup berikutan peningkatan kes jangkitan HFMD.

Antara kawasan terbabit ialah Georgetown dan Butterworth dengan semua taska berkenaan diarah tutup selama 10 hari.

Berita Harian X