Ahad, 8 Julai 2018 | 6:36pm
DR Dzulkefly Ahmad beramah mesra bersama kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia di Majlis Sambutan Aidilfitri bagi Parlimen Kuala Selangor di Jalan Melawati, Kuala Selangor. - Foto Muhammad Sulaiman
DR Dzulkefly Ahmad beramah mesra bersama kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia di Majlis Sambutan Aidilfitri bagi Parlimen Kuala Selangor di Jalan Melawati, Kuala Selangor. - Foto Muhammad Sulaiman

Siasat, kawal segera kes jangkitan HFMD di Pulau Pinang

KUALA SELANGOR: Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, diarah melakukan siasatan serta kawalan terhadap kes jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Pulau Pinang, dengan segera.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, berkata semua pengarah hospital di negeri itu juga sudah diberi arahan sewajarnya bagi mengawal peningkatan kes jangkitan penyakit berkenaan.

"Kita sudah menggerakkan Bahagian Kawalan Penyakit dan kes jangkitan HFMD ini perlu diberi tumpuan sewajarnya.

"Mengenai punca penyakit ini merebak, kita perlu siasat dahulu tetapi sekarang harus mengelakkan penularannya. Difahamkan hingga kini, lebih 1,500 kes berkenaan dilaporkan (di Pulau Pinang)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Kesyukuran dan Sambutan Aidilfitri Peringkat Parlimen Kuala Selangor, di sini, hari ini.

HFMD adalah penyakit akibat jangkitan virus, khususnya daripada jenis Coxsackie A16 dan Enterovirus 71, yang menular melalui sentuhan langsung dengan cecair hidung, air liur, lepuh dan najis penghidapnya.

Antara gejalanya ialah demam, ruam atau lepuh di tapak tangan dan kaki, serta ulser pada mulut serta lidah.

Sebelum ini, media melaporkan 10 taman asuhan kanak-kanak (TASKA) di Pulau Pinang diarah tutup berikutan peningkatan kes jangkitan HFMD.

Antara kawasan terbabit ialah Georgetown dan Butterworth dengan kesemua taska berkenaan diarah tutup selama 10 hari.

Berita Harian X