Jumaat, 6 Julai 2018 | 7:31pm

HFMD: 10 taska diarah tutup

GEORGETOWN: Sebanyak 10 taska di Pulau Pinang diarah tutup sejak minggu lalu berikutan peningkatan kes jangkitan Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) di negeri itu.

Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Dr Wan Mansor Hamzah, berkata 10 taska itu membabitkan masing-masing lima di Georgetown dan Butterworth, dengan semuanya diarah tutup selama 10 hari.

"Sejak awal tahun hingga 4 Julai, sebanyak 45 taska (termasuk 10 buah itu) diarah tutup kerana HFMD. Penyakit itu meningkat sejak dua minggu lalu, maka kami mengambil langkah segera dengan membuat pemeriksaan di taska yang kanak-kanaknya dijangkiti penyakit itu.

"Penutupan dibuat bagi membolehkan pengusaha menjalankan kerja pembersihan serta untuk memastikan kanak-kanak lain tidak dijangkiti HFMD daripada mereka yang telah dijangkiti," katanya ketika dihubungi BERNAMA di sini, hari ini.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani serta Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Afif Bahardin, berkata 1,555 kes dilapor di Pulau Pinang sejak Januari hingga 4 Julai lalu, peningkatan 48 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Afif berkata, bagi tempoh sama, sebanyak 53 taska, tadika, tabika dan prasekolah melaporkan kluster HFMD di premis mereka, meningkat 381 peratus berbanding hanya 11 kluster dilapor pada tempoh sama tahun lalu.

HFMD ialah penyakit disebabkan virus dan gejala penyakit itu ialah demam, ruam di tapak tangan, kaki dan ulser di mulut dan lidah, serta gejala dan tanda jangkitan saluran pernafasan atas (URTI).

HFMD disebabkan jangkitan virus khasnya dari jenis Coxsackie A16 dan Enterovirus 71 (EV71) dan virus itu merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh dan najis pesakit. - BERNAMA

Berita Harian X