Jumaat, 6 Julai 2018 | 5:51pm
PANGLIMA Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Panglima Zulkifli Zainal Abidin menyampaikan ucapan pada Perbarisan Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera Malaysia ke-20 di Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad
PANGLIMA Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Panglima Zulkifli Zainal Abidin menyampaikan ucapan pada Perbarisan Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera Malaysia ke-20 di Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

Tingkat keupayaan, siap siaga ATM - PAT

KUALA LUMPUR: Usaha mempertingkatkan keupayaan dan kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjadi fokus utama Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin sebaik dilantik Panglima Angkatan Tentera (PAT) yang baharu.

Katanya, keupayaan dan kesiapsiagaan itu mesti selari dengan landskap geo-politik dan strategik antarabangsa mengambil faktor kepesatan teknologi maklumat yang mendorong kepada kewujudan dunia tanpa sempadan.

"Walaupun rantau Asia ini nampak aman daripada sebarang ancaman, namun wujud beberapa isu dalaman dan luaran yang boleh mencetuskan konflik baharu pada bila-bila masa.

"Ini termasuklah kewujudan ancaman bukan tradisional seperti militan, justeru pengukuhan pertahanan secara spektrum penuh mampu memberikan perlindungan berkesan terhadap ancaman ketenteraman dari pelbagai sudut," katanya berucap pada acara Perbarisan Perintah Ulung PAT ke-20 di Dataran Panglima Tentera Darat di Kem Perdana Sungai Besi di sini, hari ini.

Seramai 952 pegawai dan anggota lain-lain pangkat daripada lapan kontinjen dari 4 Detasmen Tentera Darat Malaysia (TD), 2 Detasmen Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan 2 Detasmen Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terbabit dalam perbarisan itu.

Yang turut hadir, Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zulkiple Kassim; Panglima Tentera Laut, Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Panglima Tentera Udara, Tan Sri Affendi Buang.

Zukifli berkata, peningkatan keupayaan dan kesiapsiagaan dapat direalisasikan menerusi latihan mantap serta peralatan dan persenjataan canggih serta bersesuaian dengan keperluan pertahanan semasa.

"Sehubungan itu, amat penting untuk ATM mencapai keseimbangan dalam elemen 'Man, Machine and Method' (manusia, mesin dan kaedah).

"Ini bagi memastikan kita dapat menentukan maklum balas terhadap sebarang ancaman keselamatan secara bersepadu dan berkesan," katanya.

Selain itu, beliau turut menetapkan empat tonggak utama dalam kepimpinannya sebagai PAT dalam meneruskan kecemerlangan ATM menjaga keselamatan negara iaitu angkatan yang profesional, ketumbukan yang siap siaga, keutuhan organisasi dan memperkasakan kualiti hidup.

Zulkifli, 59, dilantik PAT ke-20 pada 20 Jun lalu menggantikan Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang bersara wajib.

Beliau pernah memegang jawatan Panglima Tentera Darat pada 2011 sebelum dilantik Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pada 2013.

Berasal dari Port Weld, Perak, Zulkifli memulakan khidmatnya dalam ATM pada 30 Januari 1978 dengan memasuki Rejimen Askar Melayu Diraja.

Berita Harian X