Jumaat, 6 Julai 2018 | 4:06pm

Zulkifli mahu terus tingkatkan keupayaan ATM

KUALALUMPUR: Usaha mempertingkatkan keupayaan dan kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjadi fokus utama Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin sebaik dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera yang baru.

Katanya, keupayaan dan kesiapsiagaan itu mesti selari dengan landskap geo-politik dan strategik antarabangsa mengambil faktor kepesatan teknologi maklumat yang mendorong kepada kewujudan dunia tanpa sempadan.

"Walaupun rantau Asia ini nampak aman daripada sebarang ancaman namun wujud beberapa isu dalaman dan luaran yang boleh mencetuskan konflik baharu pada bila-bila masa.

"Ini termasuklah kewujudan ancaman bukan tradisional seperti militan, justeru pengukuhan pertahanan secara 'full spectrum" (spektrum penuh) mampu memberikan perlindungan berkesan terhadap ancaman ketenteraman daripada pelbagai sudut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada acara Perbarisan Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera ke-20 di Dataran Panglima Tentera Darat di Kem Perdana Sungai Besi di sini, hari ini.

Seramai 952 pegawai dan anggota lain-lain pangkat daripada lapan kontinjen daripada 4 Detasmen Tentera Darat Malaysia (TD), 2 Detasmen Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan 2 Detasmen Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terbabit dalam perbarisan itu.

Yang turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Menurut Zukifli, peningkatan keupayaan dan kesiapsiagaan dapat direalisasikan menerusi latihan yang mantap serta peralatan dan persenjataan yang canggih serta bersesuaian dengan keperluan pertahanan semasa.

"Sehubungan itu, amat penting untuk ATM mencapai keseimbangan dalam elemen 'Man, Machine and Method' (manusia, mesin dan kaedah).

"Ini dalam memastikan kita dapat menentukan respons terhadap sebarang ancaman keselamatan secara bersepadu dan berkesan," jelasnya.

Selain itu, beliau turut menetapkan empat tonggak utama dalam kepimpinannya sebagai Panglima Angkatan Tentera dalam meneruskan kecemerlangan ATM menjaga keselamatan negara iaitu angkatan yang profesional, ketumbukan yang siap siaga, keutuhan organisasi dan memperkasakan kualiti hidup.

Zulkifli, 59, dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera ke-20 pada 20 Jun lalu menggantikan Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang bersara wajib.

Beliau pernah memegang jawatan Panglima Tentera Darat pada 2011 sebelum dilantik Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pada 2013.

Berasal dari Port Weld, Perak, Zulkifli memulakan khidmatnya dalam ATM pada 30 Januari 1978 dengan memasuki Rejimen Askar Melayu Diraja.

PANGLIMA Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin memberi tabik hormat kepada anggota perbarisan ketika hadir ke Perbarisan Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera Ke-20 di Kem Perdana Sungai Besi. - Foto BERNAMA
PANGLIMA Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin memberi tabik hormat kepada anggota perbarisan ketika hadir ke Perbarisan Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera Ke-20 di Kem Perdana Sungai Besi. - Foto BERNAMA
Berita Harian X