X
Rabu, 4 Julai 2018 | 3:12pm
Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub. - Foto Saifullizan Tamadi
Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub. - Foto Saifullizan Tamadi

Pendesak tidak tahu prosedur - Veteran UMNO

KUALA LUMPUR: Veteran UMNO hari ini membidas tindakan beberapa pihak, termasuk Ketua Pemuda, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mengusulkan supaya Khairy Jamaluddin dilantik sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen.

Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub menyifatkan cadangan itu sebagai tidak wajar kerana membelakangkan keputusan parti yang akan dicapai dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

Beliau berkata, tindakan pihak berkenaan juga menunjukkan mereka tidak memahami prosedur pelantikan ketua pembangkang yang kebiasaannya dilantik daripada ketua parti pembangkang yang mempunyai kerusi terbanyak di Dewan Rakyat.

"Cadangan itu tidak wajar sama sekali apatah lagi disuarakan Ketua Pemuda (Asyraf Wajdi) kerana dia dilihat cuba mendahului keputusan MT, sekali gus membelakangkan keputusan parti.

"Isu pelantikan Khairy sebagai Ketua Pembangkang bukan soal Ahli Parlimen Rembau itu layak atau tidak, sebaliknya soal kewajaran jawatan itu diberikan kepada yang bukan sepatutnya," katanya kepada NSTP, hari ini.

Beliau diminta mengulas beberapa desakan daripada beberapa pemimpin Pemuda UMNO yang mahu jawatan Ketua Pembangkang diserahkan kepada Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda.

Isnin lalu, Asyraf Wajdi memohon Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid melantik Khairy sebagai Ketua Pembangkang baharu di Parlimen.

Saranan Asyraf itu disokong EXCO Pemuda UMNO, Azril Rizal Yusof Mohd Sarit yang menyifatkan Khairy mampu menjadi Ketua Pembangkang yang baik kerana mempunyai `faktor wow' untuk memimpin barisan pembangkang dan membawa isu rakyat.

Khairy dalam reaksinya semalam dilaporkan berkata, beliau menyerahkan kepada Ahli Parlimen pembangkang untuk memutuskannya.

Mengulas lanjut, Mustapha berkata, kebarangkalian Ketua Pembangkang dari UMNO adalah besar jika dilihat kepada komposisi pembangkang yang menyaksikan parti itu mewakili kerusi Parlimen terbesar.

"Dalam hal ini, Ahmad Zahid adalah individu paling layak kerana beliau adalah Presiden UMNO dan saya yakin isu siapa Ketua Pembangkang akan diselesaikan dalam mesyuarat MT petang ini kerana Parlimen akan bersidang tidak lama lagi," katanya.

Berita Harian X