Sabtu, 30 Jun 2018 | 7:43pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) ketika hadir untuk merasmikan Mesyuarat Agung KPDLB di De Baron Resort Langkawi, Kuah. - Foto AMRAN HAMID
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) ketika hadir untuk merasmikan Mesyuarat Agung KPDLB di De Baron Resort Langkawi, Kuah. - Foto AMRAN HAMID

Sila lapor jika kami tidak amanah - PM

LANGKAWI: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau dan pimpinan Pakatan Harapan (PH) boleh dijatuhkan jika tidak memegang amanah rakyat ketika mentadbir kerajaan.

Perdana Menteri berkata rakyat juga boleh membuat laporan jika beliau menipu dan tidak amanah dengan bukti yang cukup supaya dijatuhkan daripada jawatannya.

"Buatlah laporan jika saya menipu dan tidak amanah dengan bukti yang cukup supaya saya dijatuhkan dari jawatan Perdana Menteri.

"Perkara sama juga turut membabitkan wakil rakyat PH. Jika mereka terbabit rasuah, terima duit untuk tipu atau dapatkan kontrak sana sini juga akan disingkirkan dari jawatan masing-masing dan ahli PH," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Pembangunan Daerah Langkawi Berhad (KPDLB) di sini, hari ini.

Sambil menegaskan kerajaan PH tidak akan mengulangi apa yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu, Dr Mahathir berkata beliau dan pimpinan boleh dijatuhkan jika menyalahi undang-undang dan agama.

"Inilah janji kita (pemimpin PH), jika ada bukti kami tidak tunaikan janji, buatlah laporan termasuk ke atas saya.

"Perkara sama juga turut membabitkan wakil rakyat PH. Jika mereka terbabit rasuah, terima duit untuk tipu atau dapatkan kontrak sana sini juga akan disingkirkan dari jawatan masing-masing dan ahli PH," katanya.

Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi, berkata kerajaan yang dipimpin PH berpegang pada janji dan ikrar dengan tidak akan menipu dan mencuri.

"Apabila kami (kerajaan) berpegang pada janji, maka barulah rakyat akan terus memberi sokongan supaya terus menjadi kerajaan.

"Sekiranya kita berbuat seperti kerajaan terdahulu, sudah pastinya, kita akan dijatuhkan rakyat seperti yang berlaku pada pilihan raya lalu," katanya.

Sementara itu, berucap pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Parlimen Langkawi di Dewan Kompleks Sukan LADA di sini, Dr Mahathir berkata kerajaan akan menawarkan perkhidmatan yang boleh memperbanyakkan lagi peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat untuk meningkatkan lagi taraf hidup mereka.

Katanya ini berbeza sekali dengan pendekatan kerajaan lepas yang lebih cenderung untuk memberikan sogokan kewangan bagi mendapatkan sokongan rakyat.

"Bukan cara kita untuk menghulurkan sogokan kepada rakyat dengan harapan sokongan akan diberikan oleh rakyat," katanya.

Katanya kemenangan beliau di kerusi Parlimen Langkawi dan dua orang lagi calon PH iaitu Juhari Bulat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat dan Mohd Firdaus Ahmad sebagai ADUN Kuah, menjadi bukti rakyat di Langkawi tidak mudah dipengaruhi taktik sogokan yang digunakan oleh BN dalam pilihan raya lalu.

Dr Mahathir yang diiringi isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di majlis itu, berkata kemenangan PH di Langkawi dalam PRU14 akan menjadi asas kepada usaha untuk meningkatkan taraf hidup rakyat di pulau itu

yang telah sekian lama bergantung kepada industri pelancongan sebagai sumber pendapatan utama mereka.

Katanya industri ini membolehkan kira-kira 3.5 juta pelancong untuk datang ke Langkawi setiap tahun dan banyak memanfaatkan rakyat tempatan.

"Kita perlu menambah lebih banyak hotel dan restoran bagi menampung permintaan pelancong yang semakin ramai dan orang tempatan dapat terlibat dalam usaha ini," katanya.

Perdana Menteri juga berkata Langkawi akan terus menjadi pulau pelancongan bebas cukai, sekali gus memberi kelebihan kepada rakyat tempatan dan menarik pelancong.

Katanya, keputusan ini akan terus menjadi daya tarikan kepada pelancong asing dan tempatan untuk terus bercuti ke Langkawi.

"Langkawi kini menjadi satu antara 10 pulau di dunia yang terkenal sebagai pusat pelancongan dan kita sebagai sebuah kerajaan akan terus bangunkan pulau ini supaya menjadi lebih terkenal di dunia.

"Insya-Allah dengan pelaburan kerajaan dan swasta, Langkawi akan lebih menarik untuk pelancong asing dan tempatan," katanya.

Berita Harian X