Sabtu, 30 Jun 2018 | 3:34pm
TUN Dr Mahathir Mohamad bersalam dengan orang ramai ketika hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Langkawi di Kompleks Sukan LADA, Kuah. - Foto Amran Hamid
TUN Dr Mahathir Mohamad bersalam dengan orang ramai ketika hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Langkawi di Kompleks Sukan LADA, Kuah. - Foto Amran Hamid

Langkawi kekal pulau bebas cukai - PM

LANGKAWI: Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Langkawi akan terus menjadi pulau pelancongan bebas cukai, sekali gus memberi kelebihan kepada rakyat tempatan dan menarik pelancong.

Perdana Menteri itu berkata, keputusan ini akan terus menjadi daya tarikan kepada pelancong asing dan tempatan untuk terus bercuti ke Langkawi.

"Langkawi kini menjadi satu antara 10 pulau di dunia yang terkenal sebagai pusat pelancongan dan kita sebagai sebuah kerajaan akan terus bangunkan pulau ini supaya menjadi lebih terkenal di dunia.

"Insya Allah dengan pelaburan kerajaan dan swasta... Langkawi akan lebih menarik untuk pelancong asing dan tempatan," katanya pada Majlis Rumah Terbuka Parlimen Langkawi di Kompleks Sukan LADA, Kuah, di sini hari ini.

Yang turut hadir, isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, kerajaan akan berusaha majukan Langkawi dengan memberi pelbagai peluang kepada penduduk untuk terus maju.

"Kita akan pertingkatkan peluang pekerjaan dan perniagaan kecil atau besar supaya penduduk mendapat pelbagai manfaat dalam meningkatkan pendapatan.

"Ini janji kita yang mahu membantu penduduk Langkawi mencapai kehidupan yang lebih selesa. Segala usaha sedang dilakukan untuk pastikan janji terbabit ditunai," katanya.

Berita Harian X