Selasa, 26 Jun 2018 | 11:01am
SETIAUSAHA Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan. -Foto Ghazali Kori
SETIAUSAHA Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan. -Foto Ghazali Kori

Tindakan Guan Eng disifatkan hasutan, provokasi - PAS

KOTA BHARU: PAS menyifatkan tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, mengeluarkan kenyataan media rasmi dalam tiga bahasa, termasuk Mandarin, sebagai hasutan dan provokasi yang boleh mengundang perasaan benci sesama rakyat.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata ia boleh menimbulkan keresahan dalam masyarakat dan syak wasangka yang akan mengganggu-gugat perpaduan kaum di negara ini.

Justeru, katanya, PAS memandang serius tindakan Guan Eng mengeluarkan kenyataan media rasmi bawah Kementerian Kewangan dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin.

"Ini suatu perkara yang tidak pernah berlaku atau dilakukan dalam sejarah pentadbiran negara, apabila seorang menteri menerbitkan kenyataan rasmi kerajaan menggunakan bahasa Mandarin walaupun sebagai terjemahan.

"PAS melihat tindakan Yang Berhormat (YB) Lim Guan Eng sekali lagi menerbitkan kenyataan media terbaru dalam laman Facebook beliau dengan menggunakan bahasa Mandarin sahaja (seolah-olah) bagi mempertahankan tindakannya sebelum ini, sebagai bersifat angkuh dan sombong," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Malah, Takiyuddin berkata, Guan Eng dipercayai secara 'sengaja dan berhelah' membuat suatu tafsiran salah serta 'mengarut' terhadap Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan apabila beliau dilaporkan sebagai berkata: 'Atas semangat Perlembagaan, apa salahnya mengeluarkan kenyataan media yang diterjemahkan dalam bahasa Mandarin dan bahasa lain?'.

Katanya, PAS tidak menafikan hak menggunakan bahasa Mandarin mahupun bahasa lain di negara ini, namun penggunaan selain bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam urusan kerajaan adalah satu kesilapan nyata.

Beliau berkata, Guan Eng sebagai menteri, perlu mematuhi tatacara urusan rasmi kerajaan yang termaktub dalam Perkara 152(6) Perlembagaan Persekutuan.

"Ada banyak pekeliling pentadbiran yang jelas menuntut supaya bahasa Melayu digunakan dengan baik dan diutamakan dalam semua urusan kerajaan.

"PAS dengan tegas memperingatkan YB supaya tidak cuba 'bermain api' yang akan membangkitkan kemarahan rakyat dengan sikap angkuh dan sombong memperlekehkan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan atas nama semangat 'Malaysia Baharu'," katanya.

Guan Eng dalam satu kenyataan semalam berkata, kenyataan media rasmi beliau bawah Kementerian Kewangan sememangnya dikeluarkan dalam bahasa Melayu dan hanya diterjemahkan kepada bahasa lain jika perlu.

Beliau menegaskan, kementeriannya sentiasa mengutamakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Berita Harian X