Isnin, 25 Jun 2018 | 10:37pm
NORAINI Ahmad
NORAINI Ahmad

Guan Eng timbulkan kegelisahan rakyat

KUALA LUMPUR: Tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, mempertahankan kenyataan rasmi kerajaan diterbitkan dalam bahasa Mandarin bukan saja tidak selari dan tidak menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, malah mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan rakyat.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata reaksi rakyat di media sosial yang rata-rata mengecam dan meminta Guan Eng memainkan peranan sebagai Menteri Kerajaan Persekutuan yang lebih objektif dalam melaksanakan tugasnya jelas membuktikan hal berkenaan.

Katanya, Guan Eng seharusnya menumpukan perhatian dan tindakannya terhadap tugas mengurus kewangan negara, bukannya menimbulkan kegelisahan rakyat melalui semangat 'Malaysia Baharu' yang dilaungkannya.

"Apakah beliau hanya mahu membuat penjelasan kepada masyarakat berbangsa Cina saja? Bagaimana pula dengan masyarakat Melayu, India dan lain-lain yang turut mengundi Pakatan Harapan untuk menjadi Kerajaan Malaysia?" katanya.

Beliau mengulas mengenai isu penggunaan bahasa Mandarin dalam kenyataan rasmi oleh Guan Eng yang hangat diperkatakan hari ini.

Noraini yang dipilih sebagai mengetuai Wanita UMNO pada pemilihan pergerakan itu, Sabtu lalu, mengingatkan Guan Eng untuk lebih berhati-hati dalam tindakannya mengeluarkan kenyataan rasmi mahupun peribadi kerana sebagai menteri, setiap tindakan beliau akan memberi kesan kepada rakyat.

"Tindakan sewajarnya harus dikenakan terhadap beliau kerana dikhuatiri, perkara ini boleh mencetuskan kegelisahan dalam kalangan rakyat berbilang kaum sehingga boleh mendatangkan perpecahan dan ketidakharmonian dalam negara," katanya.

Berita Harian X