Isnin, 25 Jun 2018 | 10:08pm
ZAINAL Abidin Borhan. - Foto Halim Salleh
ZAINAL Abidin Borhan. - Foto Halim Salleh

Menteri tertakluk kepada Perkara 152 Perlembagaan

KUALA LUMPUR: Semua menteri tertakluk pada Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang mengkehendaki mereka menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam urusan rasmi.

Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Datuk Zainal Abidin Borhan, berkata pihaknya mengambil serius dan peka terhadap tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang terus mempertahankan dirinya mengeluarkan kenyataan bahasa Mandarin.

Zainal Abidin berkata, Perkara 152 (6) mentakrifkan dalam perkara ini, 'maksud rasmi' ertinya apa-apa maksud Kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam.

"Guan Eng menggunakan perkara 152 (1a) yang mana tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud rasmi) atau daripada mengajarkan atau belajar apa-apa bahasa lain.

"Namun sebagai Menteri Kewangan, Guan Eng tertakluk kepada Perkara 160 yang mana semua menteri adalah pihak berkuasa awam yang juga tertakluk kepada perkara 152 (6).

"Semua menteri perlu faham bahasa tugas mereka tertakluk kepada payung perlembagaan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Persidangan Meja Bulat Muafakat GAPENA di sini, hari ini.

Khamis lalu, Guan Eng mengeluarkan kenyataan tiga bahasa, termasuk bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin berkenaan isu Tun Razak Exchange sehingga dipertikaikan sebilangan pihak.

Semalam, Guan Eng mengeluarkan satu status dalam bahasa Mandarin dan tidak disediakan terjemahan untuk kenyataan itu dalam laman Facebooknya.

Kenyataan itu difahamkan mempertahankan tindakannya mengeluarkan kenyataan dalam bahasa Mandarin.

Zainal Abidin berkata, GAPENA mahu kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menggunakan dan mengiktiraf kedudukan Perkara 152, iaitu perkara pada peringkat rasmi mestilah dalam Bahasa Melayu.

"Kita sedar ada ruang dalam Perkara 152 yang memperuntukkan tiada larangan dan halangan untuk menggunakan selain bahasa Melayu, namun melihat kepada Perkara 152 (6), hal rasmi mestilah dalam bahasa kebangsaan," katanya.

Beliau berkata, GAPENA tidak mahu negara ini menjadi seperti negara jiran Singapura yang meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam perlembagaan, tetapi dalam urusan pentadbiran menggunakan bahasa lain.

"Kita tidak mahu perkara ini terjadi di Malaysia. Kita sepatutnya mendaulatkan bahasa kebangsaan dan bukannya ingkar kepada kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam rukun negara," katanya.

Dalam perkembangan lain, Zainal Abidin berkata persidangan meja bulat itu bertujuan membincangkan usaha untuk terus menghidupkan bahasa Melayu dengan membuat perancangan jangka masa pendek dan panjang dalam pembangunan bahasa kebangsaan dalam sistem pendidikan negara serta bahasa rasmi.

"Kami merancang untuk mengadakan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke-9 Oktober ini yang juga diadakan sempena bulan Bahasa Kebangsaan.

"Melalui kongres ini, kami ingin melakar dan memetakan kedudukan serta menentukan cabaran yang bakal dihadapi dalam merangka bahasa Melayu pada masa depan," katanya.

Berita Harian X