Isnin, 25 Jun 2018 | 6:33pm
LIM Guan Eng. - Foto Mohd Fadli Hamzah
LIM Guan Eng. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Kenyataan media diterjemah jika perlu - Guan Eng

PUTRAJAYA: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata kenyataan media rasmi beliau bawah kementerian itu sememangnya dikeluarkan dalam bahasa Melayu dan hanya diterjemahkan kepada bahasa lain jika perlu.

Beliau menegaskan, kementeriannya sentiasa mengutamakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

"Adalah tidak benar dakwaan bahawa bahasa Mandarin sudah menggantikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Kementerian Kewangan dan ini boleh dibuktikan dalam laman web rasmi Kementerian Kewangan.

"Kenyataan rasmi bahasa Melayu akan diterjemahkan kepada bahasa Inggeris untuk kegunaan media antarabangsa dan sekali-sekala diterjemahkan ke dalam bahasa Mandarin jika ada keperluan.

"Saya tidak faham mengapa terjemahan kenyataan rasmi bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris ataupun sekali-sekala ke dalam bahasa Mandarin, boleh diputar belit untuk menyatakan bahawa bahasa rasmi Kementerian Kewangan sudah ditukar kepada bahasa Mandarin," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, jika ada pun, terjemahan ke dalam bahasa Mandarin dibuat apabila wujud keperluan, terutama apabila isu membabitkan terma teknikal.

"Terjemahan ini kemudian dihantar terus kepada media berbahasa Cina atau media sosial dan tidak diguna pakai dalam laman rasmi Kementerian Kewangan," katanya.

Katanya, pendirian mendukung Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan, tidak pernah dipertikaikan.

"Namun, saya akan menggunakan bahasa lain dalam akaun media sosial saya dan bahasa Mandarin dalam komunikasi saya dengan akhbar Cina," katanya.

Guan Eng berkata, beliau mengeluarkan kenyataan dalam bahasa Mandarin, semalam, tanpa kepala surat rasmi Kementerian Kewangan.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana prihatin mengenai perkara ini. Saya mengambil maklum kritikan dan teguran berkenaan status yang dimuat naik dalam laman sosial saya pada 24 Jun lalu (semalam).

"Saya akan terus memperbaiki apa-apa kelemahan dalam tataurus komunikasi saya dengan rakyat Malaysia," katanya.

Berita Harian X