Isnin, 25 Jun 2018 | 5:18pm
PRESIDEN Teras Pengupayaan Melayu (TERAS), Mohd Azmi Abdul Hamid.
PRESIDEN Teras Pengupayaan Melayu (TERAS), Mohd Azmi Abdul Hamid.

TERAS mohon PM tegur Guan Eng

SHAH ALAM: Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) meminta Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegur Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang terus mengeluarkan kenyataan media utama dalam bahasa Mandarin.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, tindakan Guan Eng yang terus mempertahankan dirinya mengeluarkan kenyataan bahasa Mandarin dengan dilihat sebagai satu kesilapan.

Menurut beliau, pihaknya membantah tindakan itu dan menggesa Perdana Menteri menegur sikap menteri itu supaya akur dengan kemahuan majoriti rakyat iaitu mendaulatkan Bahasa Melayu.

"Konsep 'multi lingualism' yang beliau (Guan Eng) nyatakan itu tidak menjadi dasar di negara ini. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah dasar dan ketetapan dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Memang bahasa etnik lain tidak dilarang, malah diberi ruang untuk digunakan namun Bahasa Melayu bahasa rasmi kerajaan dalam semua urusan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kata Mohd Azmi, tindakan Guan Eng menggunakan alasan Malaysia Baharu jelas menunjukkan beliau melampaui semangat yang diidamkan oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Kita melihat sikap beliau keterlaluan dalam mentafsir semangat Malaysia Baharu. Kita juga terkejut dengan sikap beliau dalam isu bahasa yang tidak pernah dibangkitkan pimpinan kerajaan lain sebelum ini.

"Isu bahasa pernah membawa rakyat berdemonstrasi beberapa kali dalam sejarah negara," katanya.

Beliau berkata, kerajaan baharu yang memerintah tidak boleh mencetuskan kebangkitan rakyat dan sentiasa memastikan agenda bahasa kebangsaan didaulatkan.

"Kemahuan rakyat ialah membangunkan negara dengan identiti nasional dalam kerangka bahasa kebangsaan yang disepakati bersama berdasarkan Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Semalam, Guan Eng, mengeluarkan satu status dalam bahasa Mandarin dan tidak disediakan terjemahan untuk kenyataan itu dalam laman Facebooknya.

Kenyataan itu difahamkan mempertahankan tindakannya mengeluarkan kenyataan dalam bahasa Mandarin.

Khamis lalu, Guan Eng mengeluarkan kenyataan tiga bahasa, termasuk bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin berkenaan isu Tun Razak Exchange sehingga mendapat pertikaian segelintir pihak.

Berita Harian X