Isnin, 25 Jun 2018 | 4:53pm
MENTERI Keewangan, Lim Guan Eng. - Foto Ramdzan Masiam
MENTERI Keewangan, Lim Guan Eng. - Foto Ramdzan Masiam

Guna bahasa kebangsaan bukti kepatuhan undang-undang

KUALA LUMPUR: Kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk meneruskan penggunaan kenyataan media dalam bahasa Mandarin disifatkan tidak mencerminkan pemerintahan berdasarkan undang-undang yang sering dilaungkan kepemimpinan Pakatan Harapan (PH).

Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Datuk Zainal Abidin Borhan, berkata kepatuhan kepada Perlembagaan Persekutuan yang menyebut penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa untuk urusan rasmi kerajaan sebahagian daripada bentuk kepatuhan kepada undang-undang.

Zainal berkata, meskipun tidak ada halangan bagi penggunaan dan pengajaran bahasa lain dalam Perlembagaan Persekutuan, apa yang turut disebutkan ialah urusan rasmi kerajaan yang mesti menggunakan bahasa Melayu.

"Jadi seandainya ada kenyataan rasmi menggunakan bahasa lain selain daripada bahasa kebangsaan maka itu tentunya satu percanggahan dengan Rule of Law yang sering dilaungkan PH.

"Tiada halangan penggunaan bahasa lain selain bahasa Melayu tetapi jangan sesekali memperlekehkan kedaulatan bahasa Melayu yang termasuk dalam kedaulatan undang-undang.

"Ingkar pada Rule of Law makanya kita juga menafikan hakikat sebuah negara yang berdaulat dan merdeka," katanya kepada BH di sini, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), Kamal Shukri Abdullah Sani, berkata tindakan Guan Eng sama ada disengajakan atau tidak, menyebabkan penghinaan terhadap martabat bahasa Melayu itu sendiri.

Kamal Shukri berkata, peminggiran terhadap bahasa Melayu yang dilakukan secara terang-terangan ini akan memaksa campur tangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V sekiranya masih berlanjutan.

"Semua jabatan kerajaan perlu sedar peranan bahasa Melayu untuk kegunaan rasmi seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Apa yang dilakukannya Menteri Kewangan ini saya lihat sebagai satu seruan yang tidak wajar. Kita tidak menghalang rakyat Malaysia mahu mempelajari bahasa lain tetapi taraf dan martabat bahasa Melayu itu sendiri perlu terus dipelihara.

"Kebangkitan ramai pihak yang memperjuangkan isu ini tidak boleh dituduh sebagai bermotif politik apatah lagi pejuang bahasa sejak sekian lama turut menegur dengan lantang kerajaan terdahulu membabitkan apa saja isu bahasa Melayu," katanya.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abdul Adzis, berkata pengeluaran surat rasmi kerajaan perlu mengikuti Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 2001 atau Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan Dalam Perkhidmatan Awam.

Beliau yang enggan mengulas panjang berkata, pekeliling itu perlu diikuti memandangkan ia pekeliling rasmi kerajaan.

Berita Harian X