Selasa, 19 Jun 2018 | 6:57pm
TAN Sri Lee Lam Thye. - Foto NSTP
TAN Sri Lee Lam Thye. - Foto NSTP

Penjara mandatori bagi pemburu hidupan liar

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta meminda Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dengan memasukkan hukuman penjara mandatori kepada individu yang memburu hidupan liar secara haram serta menyimpan bangkainya.

Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata akta yang mula berkuat kuasa pada Disember 2010 itu dilihat masih gagal menghalang pemburu haram menangkap haiwan liar, khususnya menggunakan teknik dan kaedah yang kejam.

"Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dikatakan pernah mencadangkan pindaan akta ini supaya pemburu haram didakwa sewajarnya mengikut undang-undang.

"Cadangan pindaan itu akan meletakkan hukuman lebih berat dan memperkenalkan tempoh minimum pemenjaraan, yang tidak ada dalam akta sedia ada," " katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas laporan eksklusif NST hari ini, mengenai kekejaman pemburu haram warga asing yang menggunakan jerat wayar hingga mendatangkan kecederaan serta kematian yang perlahan kepada haiwan liar di Pahang.

Menurut laporan itu, PERHILITAN menemui beberapa haiwan yang cedera serta hilang anggota badan akibat terkena jerat wayar yang dipasang pemburu haram.

Lam Thye berkata, pihak berkuasa perlu lebih proaktif menghalang urusan jual beli membabitkan haiwan terancam menerusi perundangan tempatan dan antarabangsa yang lebih berkesan, selain meningkatkan kerjasama membanteras sindiket pemburuan haram di seluruh negara.

Beliau turut menggesa penggunaan teknologi terkini termasuk dron, penderiaan jauh dan kamera untuk mengatasi isu pemburuan haram dan aktiviti penyeludupan di seluruh negara.

"Kesedaran umum dan penguatkuasaan perundangan yang lebih baik serta kesanggupan politik lebih kuat juga diperlukan untuk menidakkan perdagangan haiwan liar secara haram dan ekploitasi sumber asli.

"Sebarang bentuk kekejaman terhadap haiwan tidak boleh diterima dan kita perlu menjaga mereka yang juga ada hak untuk hidup di atas bumi ini.

"Rakyat Malaysia perlu memainkan peranan dengan melaporkan jenayah hidupan liar dengan menghubungi PERHILITAN di talian 1-800-88-5151 atau Jenayah Hidupan Liar di talian 019-3564194," katanya.

Berita Harian X