X
Isnin, 4 Jun 2018 | 6:50pm
Ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz. - Foto Aizuddin Saad
Ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz. - Foto Aizuddin Saad

Mekanisme kawalan harga barang diumum

KUALA LUMPUR: Majlis Penasihat Kerajaan akan mengumumkan satu mekanisme baharu bagi mengawal harga barang di pasaran, susulan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar sifar peratus mulai 1 Jun lalu.

Ahli majlis berkenaan, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, berkata pengumuman mekanisme baharu itu akan dilakukan Tun Daim Zainuddin selaku Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan.

"Majlis Penasihat Kerajaan akan mengumumkan cadangan itu (mekanisme baharu) bagi memastikan harga barang di pasaran selaras dengan kadar sifar peratus GST.

"Pengumuman akan dibuat tetapi saya tidak pasti mengenai tarikh itu," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan, di Menara Ilham, hari ini.

Kementerian Kewangan sebelum ini mengumumkan bekalan barang dan perkhidmatan yang dibuat di dalam Malaysia serta barang dan perkhidmatan yang diimport akan dikenakan GST pada kadar sifar, berkuat kuasa mulai 1 Jun.

Susulan itu, kementerian mewajibkan semua peniaga yang berdaftar GST perlu mematuhi penetapan pengenaan kadar sifar itu.

Berita Harian X