Isnin, 4 Jun 2018 | 4:33pm
ANTHONY Loke Siew Fook. - Foto NSTP
ANTHONY Loke Siew Fook. - Foto NSTP

Cadangan jawatankuasa kemalangan dilaksana

PUTRAJAYA: Cadangan jawatankuasa mengenai kemalangan bas di Genting Highlands pada Ogos 2013 akan dikemukakan kepada Kabinet untuk kelulusan pelaksanaannya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata ada 51 cadangan dalam laporan berkenaan termasuk untuk menambah baik sistem berkaitan bas ekspres.

Beliau berkata, sebuah jawatankuasa akan bertindak memantau setiap cadangan berkenaan supaya dapat dilaksanakan dengan serta-merta.

"Memang saya sedar kemalangan bas ekspres itu isu yang sudah lama berlaku dan saya masih ingat kemalangan membabitkan bas di Genting Highlands dan selepas itu, ada laporan kajian berhubung cadangan menambah baik dari segi sistem bas.

"Saya juga sudah minta Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan untuk melihat semua laporan itu. Kita nak pantau betul-betul semua cadangan berkenaan sejauh mana ia dilaksanakan dalam masa beberapa tahun ini," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau mengulas kemalangan membabitkan dua lori dan sebuah bas ekspres, semalam menyebabkan tiga maut dalam kejadian di Kilometer 142.4 Lebuhraya PLUS berhampiran susur keluar Pagoh di Muar, Johor.

Mereka yang meninggal dunia adalah pemandu bas ekspres serta dua lagi penumpang bas berkenaan.

Dalam pada itu, Siew Fook berkata, pada masa ini, pihaknya tidak memerlukan sebarang kajian memandangkan sudah banyak dilakukan sebelum ini.

"Kita tidak perlu apa-apa kajian lain kerana macam-macam kajian sudah dibuat tetapi sekarang adalah masa untuk pelaksanaan (cadangan).

"Saya yakin cadangan itu masih relevan, jadi saya akan pantau dan minta supaya jawatankuasa pemantau ini ditubuhkan," katanya.

Dalam kejadian pada 21 Ogos 2013, seramai 37 maut apabila sebuah bas ulang-alik Genting Highlands - Kuala Lumpur yang membawa 53 penumpang terbabas lalu terhumban ke dalam gaung sedalam 150 meter.

Kemalangan itu berlaku sewaktu bas itu menuruni pusat peranginan berkenaan di Kilometer 3.5, Jalan Genting Highlands - Kuala Lumpur.

Berita Harian X