Khamis, 31 Mei 2018 | 3:01pm
MENTERI Pertahanan, Mohamad Sabu (kanan) menyampaikan bungkusan hari raya kepada Panglima Angkatan Tentera, Raja Mohamed Affandi pada majlis Penyampaian Sumbangan Bungkusan Hari Raya Aidilfitri Tahun kepada Angkatan Tentera Malaysia di Auditorium Wisma Pertahanan. - Foto Saifullizan Tamadi

MENTERI Pertahanan, Mohamad Sabu (dua dari kiri) bersama Panglima Angkatan Tentera, Raja Mohamed Affandi (kiri) dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi (dua dari kanan) menerima pembayaran zakat dari Lembaga Tabung Angkatan Tentera yang diwakili Ketua Eksekutif LTAT, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin di Auditorium Wisma Pertahanan. - Foto Saifullizan Tamadi

Mohamad Sabu cuit hati warga ATM

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu mencuit hati warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan tetamu jemputan apabila berjenaka dengan menyatakan 'lebih mudah berceramah daripada membaca teks ucapan' ketika memulakan ucapan pada Majlis Penyampaian Sumbangan Bungkusan Hari Raya Aidilfitri kepada warga pertahanan di Auditorium Wisma Pertahanan, Jalan Padang Tembak, di sini, hari ini.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, sebelum ini 40 tahun beliau berceramah tanpa teks dan kini selepas menjadi menteri, beliau perlu mengikut teks ucapan yang sudah disediakan.

"Sebelum ini, 40 tahun saya berceramah tanpa teks, tiba-tiba kena baca teks ucapan pula," katanya sambil disambut gelak ketawa tetamu jemputan.

Hadir sama, Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Raja Mohamed Affandi Mohamad Noor, Panglima Tentera Laut (PTL), Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin, Panglima Tentera Udara (PTU) Tan Sri Affandi Buang dan Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Zulkiple Kassim.

Malah, ketika berucap juga, Mohamad turut sebak apabila menyebut mengenai pengorbanan perajurit terdahulu yang menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan demi mempertahankan negara.

Beliau berkata, sempena Aidilfitri kali ini, ATM menerima sumbangan kewangan daripada 48 agensi membabitkan sektor korporat, badan berkanun, syarikat swasta dan persatuan sukarela yang keseluruhannya berjumlah RM1.64 juta.

SEBAHAGIAN warga pertahanan tidak melepaskan peluang mengambil gambar bersama Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu di Auditorium Wisma Pertahanan. - Foto Saifullizan Tamadi
SEBAHAGIAN warga pertahanan tidak melepaskan peluang mengambil gambar bersama Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu di Auditorium Wisma Pertahanan. - Foto Saifullizan Tamadi

Malah, katanya, ATM turut menerima sumbangan barangan daripada 11 syarikat, koperasi dan persatuan sukarela.

"Saya selaku Menteri Pertahanan mewakili warga ATM berterima kasih atas sumbangan yang diterima hari ini (semalam).

"Keprihatinan dan keikhlasan ini menjadi bukti rakyat menghargai curahan bakti perjuangan dan pengorbanan ATM dalam mendaulatkan tanah air," katanya.

Bagaimanapun, beliau berharap lebih banyak syarikat terutama yang ada hubungan dengan Kementerian Pertahanan dan bersaiz mega turut menyumbang kepada warga ATM terutama yang terpaksa bertugas ketika hari raya bagi memastikan keselamatan negara kekal terpelihara.

"Kewujudan warga ATM menjalankan tugas keselamatan negara membolehkan kita semua termasuk syarikat yang ada dalam negara dapat berniaga dan membuat keuntungan kerana negara aman dan tenteram atas sumbangan pihak tertentu termasuk ATM.

"Sumbangan ini amat besar ertinya kepada warga ATM yang terpaksa bekerja dan meninggalkan keluarga pada hari raya, sekali gus meningkatkan moral serta semangat juang mereka," katanya.

Berita Harian X