Khamis, 31 Mei 2018 | 1:28pm
TAN Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah. - Foto NSTP
TAN Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah. - Foto NSTP

Mohd Irwan bukan Ahli Lembaga Pengarah TH

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) memaklumkan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, tidak lagi menyandang jawatan Ahli Lembaga Pengarah TH.

TH dalam kenyataan di sini hari ini, berkata kekosongan itu akan diisi wakil Perbendaharaan yang baharu seperti termaktub mengikut Akta Tabung Haji 1995.

Laman web TH, turut menunjukkan jawatan beliau dikosongkan sejak 14 Mei lalu.

Mohd Irwan menyandang jawatan berkenaan sejak 2011 atas kapasitinya sebagai wakil Perbendaharaan.

Bagaimanapun, pada 14 Mei lalu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dalam satu kenyataan berkata, kerajaan memutuskan kontrak perkhidmatan Mohd Irwan Serigar Abdullah sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan dipendekkan kepada 14 Jun 2018.

Mohd Irwan dilantik secara kontrak sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan mulai 7 Mac 2017 hingga 6 Mac 2019.

Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini turut memaklumkan Mohd Irwan bukan lagi ahli Lembaga Pengarahnya, berkuat kuasa 14 Mei 2018, berikutan beliau tidak lagi memegang jawatan sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan berkuat kuasa pada tarikh berkenaan.

Berita Harian X