Selasa, 22 Mei 2018 | 7:01pm
SAIFUDDIN pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBBM) di Petaling Jaya, hari ini. - Foto Saddam Yusoff
SAIFUDDIN pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBBM) di Petaling Jaya, hari ini. - Foto Saddam Yusoff

Dasar pemberian biasiswa, pinjaman pelajar dikaji semula

PETALING JAYA: Mesyuarat pertama Kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dijadual esok, diharap memberi perhatian kepada ketetapan dasar baharu pemberian biasiswa atau pinjaman pelajar keluar negara.

Ketua Setiausaha PH, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, ini kerana kedudukan penajaan yang ada sekarang adalah berdasarkan keadaan kewangan yang ada pada masa penajaan (kerajaan sebelum ini).

Menurutnya, beliau yakin kerajaan PH akan memberi tumpuan kepada soal penajaan pelajar peringkat A Level, termasuk menilai semula beberapa perkara yang diperlukan.

"Pertama adakah kita ingin wujudkan semua biasiswa atau tidak, kedua berapakah jumlah pelajar yang nak dihantar keluar negara setiap tahun dan ini semua adalah dasar baharu yang perlu dibuat segera.

"Perkara ketiga, apakah bidang pengajian yang kita perlu hantar pelajar ini, keempat mengenai jumlah biasiswa, dan kelima jika ia biasiswa dalam negeri juga perlu dinilai berapakah kadar elaun sara hidup," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBBM) di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan tidak rasmi dengan tiga penaja biasiswa dan pinjaman pelajar iaitu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) iaitu JPA, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Menurut Saifuddin, pertemuan itu turut disertai sekumpulan pelajar tajaan JPA di peringkat A Level yang mewakili kira-kira 150 pelajar yang memerlukan permohonan biasiswa untuk ke luar negara.

"Oleh kerana kabinet (baharu PH) hanya akan bermesyuarat esok, jadi saya harap perkara ini akan mendapat perhatian segera. Saya juga sudah bercakap dengan Dr Maszlee Malik (Menteri Pendidikan) dan dia juga tahu kita ada mesyuarat hari ini.

"Kerajaan PH buat masa ini belum mempunyai Menteri JPA lagi, jadi saya fikir Dr Maszlee adalah orang terbaik yang ada ketika ini untuk kita salurkan pandangan kepada Kabinet," katanya.

Berita Harian X