Khamis, 10 Mei 2018 | 6:21pm

Nahas jalan raya ancam hidupan liar

KUALA LUMPUR: Nahas jalan raya bukan hanya mengorbankan nyawa manusia, malah turut membunuh 2,444 ekor pelbagai hidupan liar dilindungi, sepanjang tempoh 2012 hingga tahun lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim, berkata kes kemalangan berkenaan membabitkan 36 spesies hidupan liar.

Beliau berkata, angka direkodkan itu dianggap membimbangkan berikutan bilangan hidupan liar dilindungi yang mati akibat dirempuh kenderaan, semakin meningkat saban tahun.

"Antara spesies haiwan liar paling kerap dilaporkan mati dilanggar ialah kucing hutan, ular, tapir, beruang, gajah, harimau kumbang, harimau belang dan kambing gurun.

"Berdasarkan perangkaan, spesies reptilia mencatat bilangan tertinggi mati dilanggar, iaitu 912 ekor, diikuti mamalia (144) dan burung (88)," katanya.

Beliau berkata, haiwan lain direkodkan mati akibat kemalangan meliputi tapir membabitkan 68 ekor, beruang (enam), gajah (empat) dan harimau (tiga).

"Siasatan PERHILITAN mendapati laluan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), LPT2 dan Jalan Mersing paling kerap berlaku kemalangan ini.

"Lazimnya, kemalangan ini sering berlaku pada waktu lewat malam, senja dan subuh," katanya.

Abdul Kadir berkata, kepupusan hidupan liar boleh berlaku secara drastik jika kejadian terbabit berterusan.

"Justeru, pelbagai inisiatif dilaksana bagi mengurangkan insiden seperti pemasangan 280 papan tanda amaran lintasan hidupan liar.

"Selain itu, pemasangan 24 unit 'amber-light', membina terowong dan laluan khas bagi membolehkan hidupan liar melintas lebuh raya, terutama di kawasan 'hotspot'," katanya.

Beliau berkata, nyawa hidupan liar di negara ini kian terancam ekoran kes kemalangan yang berlaku hampir setiap hari.

"Sikap pemandu yang sambalewa, tidak peka akan papan tanda amaran hidupan liar diletakkan di sepanjang jalan dan sengaja memecut kenderaan ketika melalui kawasan 'hotspot' ialah antara punca kemalangan terus berlaku.

"Kemalangan terjadi apabila haiwan ini cuba melintas jalan untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain bagi mencari makanan, teman mahupun habitat lebih sesuai demi kelangsungan hidup," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, orang ramai diminta lebih prihatin terhadap isu berkenaan dan menghentikan perbuatan yang hanya memusnahkan khazanah alam terbabit.

"Dalam pada itu, pembangunan pesat di kawasan hutan akibat peningkatan populasi dan perkembangan ekonomi, turut menjadi faktor haiwan keluar dari hutan kerana habitat semula jadi mereka diganggu.

PERHILITAN sentiasa mengharapkan kerjasama semua pihak melaporkan sebarang kemalangan jalan raya itu dengan menghubungi talian 1-800-88-5151 (setiap Isnin hingga Khamis) atau melalui portal e-aduan www.wildlife.gov.my bagi tujuan pengurusan bangkai dan kutipan data.

Berita Harian X