Jumaat, 27 April 2018 | 6:49pm

Pembangkang api-apikan sentimen, hanya rugikan rakyat

PEKAN: Datuk Seri Najib Razak menempelak pembangkang dimonopoli DAP, kerana sentiasa memainkan sentimen untuk mengapi-apikan rakyat, yang akhirnya merugikan negara untuk jangka panjang.

Perdana Menteri berkata, pembangkang menggertak untuk membatalkan segala kontrak dibuat dengan China sekiranya berkuasa tanpa memikirkan kesan kepada rakyat yang mencari rezeki hasil daripada pelaburan diusahakan kerajaan.

"Cuba bayangkan kalau pembangkang gertak untuk batalkan kontrak dengan China, bagaimana sekiranya Geely diarahkan tidak lagi menjadi rakan strategik PROTON Holdings Bhd (PROTON)...siapa rugi? Sudah tentu pekerja DRB-HICOM yang menjadi mangsa dan hilang kerja.

"Pembangkang tidak fikir masak-masak, api-apikan perasaan rakyat kononnya kita menjual kedaulatan negara kepada China, kenapa di Sweden tidak timbul isu seperti itu apabila Geely menguasai Volvo.

"Kita tidak jual kedaulatan negara dan hak PROTON tetapi ambil rakan strategik supaya masa depan PROTON penuh dengan harapan bukannya hampa bukan main emosi dan sentimen sahaja," katanya berucap pada majlis perjumpaan Perdana Menteri bersama warga DRB-HICOM dan pelancaran Program Perumahan Rakyat (PPR) Pekan di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi DRB-HICOM Bhd, Datuk Mohammad Zainal Shaari; Pengarah Urusan Kumpulan DRB Hicom, Datuk Seri Syed Faisal Albar dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Mohammad Mentek.

Perdana Menteri turut mengumumkan dua berita baik kepada warga DRB-HICOM iaitu insentif RM500 kepada 60,000 kakitangannya yang dibayar pada 30 April ini, selain 100 daripada 500 unit rumah projek Program Perumahan Rakyat (PPR) di Pekan yang berharga RM35,000 akan dikhaskan kepada warga DRB-HICOM bekerja di sini.

Najib yang juga Pengerusi BN, berkata berbeza daripada pakatan pembangkang, BN mempunyai hala tuju jelas dan sentiasa mendahulukan rakyat dalam setiap pertimbangannya yang terbukti menerusi usaha menyelamatkan PROTON dua tahun lalu.

"Kita bagi dana untuk sediakan pekerjaan dan memperluaskan pasaran bukan hanya dalam negara sahaja tetapi kereta keluaran PROTON bergaya meluncur di lebuh raya luar negara dan membawa imej negara," katanya.

Beliau menegaskan yang PROTON adalah satu jenama sinonim dengan negara, tidak seharusnya dibiarkan pupus, justeru usaha untuk memulihkannya perlu dilaksanakan segera.

"Ia bukan sahaja membabitkan kepentingan pekerja PROTON tetapi ia adalah kebanggaan negara...jika selama ini kita berbangga mengatakannya sebagai kereta nasional tetapi tiba-tiba gulung tikar sudah tentu ia memberi tamparan hebat kepada imej negara.

"Saya lagi pentingkan imej negara dan pekerja PROTON...sebab itulah saya putuskan untuk membantu melalui sumbangan dana penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pinjaman mudah, tanpa sumbangan itu malap masa depannya," katanya.

Beliau berkata, PROTON disyaratkan mencari rakan strategik dan memilih Geely yang disifatkan tepat berikutan kemampuannya dari segi mempunyai dana R&D yang tinggi serta jumlah kenderaan dijualnya juga besar.

"Kerajaan tidak buat keputusan ini sebaliknya pengurusan PROTON dan DRB-HICOM berbuat demikian atas merit Geely.

"Keputusan PROTON menjalinkan kerjasama strategik dengan Geely adalah tepat kerana syarikat automotif itu kini menguasai Volvo dan mempunyai pegangan saham dalam kumpulan Mercedes dari Jerman," katanya.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak melihat model rumah pada majlis perjumpaan Perdana Menteri bersama warga DRB-HICOM dan Pelancaran PPR Pekan. - Foto Asyraf Hamzah
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak melihat model rumah pada majlis perjumpaan Perdana Menteri bersama warga DRB-HICOM dan Pelancaran PPR Pekan. - Foto Asyraf Hamzah
Berita Harian X