Ahad, 22 April 2018 | 5:28pm
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (empat, kiri) bergambar bersama hadirin yang hadir selepas melancarkan Program Komuniti Agropreneur Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) di tapak latihan Komuniti Agropreneur Bagan Datuk hari ini. Turut sama Ketua Eksekutif NCIA Datuk Redza Rafiq (lima dari kiri). - Foto BERNAMA

NCIA bantu tambah pendapatan golongan B40

BAGAN DATUK: Program Komuniti Agropreneur hasil inisiatif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) mampu meningkatkan pendapatan dan taraf hidup penduduk luar bandar serta golongan berpendapatan rendah (B40).

Hingga kini, seramai 835 peserta golongan B40 sudah berjaya dilatih melalui program berkenaan di lima lokasi iaitu di Kulim dan Semeling di Kedah serta Bagai Serai, Manjung dan Sungai Siput di Perak.

Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak, berkata program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama pejabat daerah dan pemimpin setempat bagi melaksanakan projek keusahawanan tani.

Katanya, hari ini program berkenaan dilaksanakan di daerah Bagan Datuk membabitkan 200 peserta dalam projek penanaman cili secara fertigasi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (dua dari kanan) melancarkan Program Komuniti Agropreneur Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Daerah Bagan Datuk. Turut sama Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Redza Rafiq (tiga dari kiri) di Tapak Latihan Komuniti Agropreneur Bagan Datuk. - Foto Abdullah Yusof

"Program di sektor berimpak tinggi seperti ini dapat membantu pertumbuhan industri hiliran berasaskan pertanian serta meningkatkan peluang untuk perniagaan tempatan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan usahawan di dalam komuniti tempatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Program Komuniti Agropreneur NCIA di daerah Bagan Datuk yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di tapak latihan komuniti agropreneur Bagan Datuk di Sungai Pergam di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya dan Pegawai Daerah Bagan Datuk, Datuk Hamzah Husin.

Redza Rafiq berkata, program itu turut mendapat kerjasama beberapa agensi seperti Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Pejabat Daerah, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Yayasan Kemajuan Sosial Malaysia (YKSM) menerusi pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Katanya, menerusi pendekatan itu, semua pihak berkenaan bekerjasama dalam pembangunan modal insan serta kumpulan sasaran dengan memaksimumkan penggunaan sumber sedia ada secara perkongsian maklumat dan tenaga yang dapat meminimumkan kos pengurusan program yang dilaksanakan.

Beliau berkata, di Bagan Datuk, program itu dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Bagan Datuk serta JKKK kawasan Hutan Melintang dan Rungkup.

"Semua peserta akan dilatih dengan kemahiran sistem tanaman fertigasi dan pengurusan ladang fertigasi untuk meningkatkan kualiti serta hasil tuaian secara optimum.

"Setelah tamat menjalani latihan, seramai 100 usahawan akan dipilih untuk menerima pembiayaan kewangan bagi menjalankan aktiviti penanaman yang dijangka menambah pendapatan purata isi rumah kepada lebih RM1,000 sebulan berikutan daripada aktiviti hasil hiliran berasaskan pertanian seperti menyedia dan menjual anak benih, baja, membantu menyediakan tapak penanaman serta bekerja dengan pemilik ladang," katanya.

Berita Harian X