Ahad, 22 April 2018 | 1:11pm

Wilayah ekonomi bangunkan kawasan terpinggir - TPM

BAGAN DATUK: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu lima wilayah pembangunan ekonomi yang diwujudkan di seluruh negara turut memberi tumpuan kepada usaha membangunkan kawasan yang terpinggir dan tertinggal sebelum ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ia bagi membolehkan limpahan kemajuan ekonomi dirasai oleh semua rakyat di seluruh negara tanpa mengira kawasan didiami.

Katanya, lima wilayah pembangunan ekonomi itu diwujudkan ketika zaman pentadbiran Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, membabitkan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Koridor Pembangunan Sabah (SDC), Koridor Pembangunan Tenaga Sarawak (SCORE) dan Iskandar Malaysia di Johor.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (empat kiri) melawat tapak semaian cili pada majlis Pelancaran Program Komuniti Agropreneur Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Daerah Bagan Datuk di Tapak Latihan Komuniti Agropreneur Bagan Datuk. - Foto Abdullah Yusof

"Saya berharap lima koridor ini dapat menterjemahkan kawasan yang tertinggal dan terpinggir untuk dimajukan seperti di Bagan Datuk.

"Sebelum ini, NCER di Perak sehingga ke daerah Manjung sahaja tetapi atas inisiatif NCIA (Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara), kawasan itu diperluaskan sehingga ke Bagan Datuk.

"Apabila Bagan Datuk dimasukkan dalam ke dalam NCER, maka banyak program berbentuk industri dan keusahawanan dapat dilaksanakan di daerah ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan program Komuniti Agropreneur Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) di tapak latihan komuniti agropreneur Bagan Datuk, Sungai Pergam, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya; Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak dan Pegawai Daerah Bagan Datuk, Datuk Hamzah Hussin.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi beramah mesra dengan peserta Yayasan Kemajuan Sosial pada majlis Pelancaran Program Komuniti Agropreneur Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Daerah Bagan Datuk di Tapak Latihan Komuniti Agropreneur Bagan Datuk. - Foto Abdullah Yusof

Seramai 200 penduduk sekitar Bagan Datuk menyertai program komuniti agropreneur itu, membabitkan penanaman cili secara fertigasi dengan sasaran setiap peserta memperoleh pendapatan bulanan melebihi RM1,000 sebulan.

Ahmad Zahid berkata, program berkenaan membuktikan penduduk di kawasan yang terpinggir seperti Bagan Datuk boleh membabitkan diri dalam keusahawanan tani jika diberi peluang.

Beliau juga sudah mencadangkan kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk mewujudkan sistem perladangan kontrak bagi program komuniti agropreneur itu, manakala semua cili tidak terjual boleh diproses untuk aktiviti hiliran untuk dijadikan cili boh, sos cili dan serbuk cili.

Pada masa sama, beliau mahu program berkenaan diperluaskan dengan turut membabitkan 380 orang yang berada dalam 'senarai menunggu', sekali gus menjadikan peserta keseluruhan seramai 580 orang.

Ahmad Zahid juga mahu NCIA memastikan program berkenaan membabitkan peserta daripada semua kaum kerana ada ramai juga penduduk Cina dan India miskin di daerah itu yang perlu dibantu.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi NCIA berkata, akan memantau sendiri projek berkenaan serta semua projek lain di bawah NCIA.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (dua kiri) mencuba cili pada majlis Pelancaran Program Komuniti Agropreneur Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Daerah Bagan Datuk di Tapak Latihan Komuniti Agropreneur Bagan Datuk. - Foto Abdullah Yusof

Berita Harian X