Sabtu, 21 April 2018 | 4:02pm
LIOW Tiong Lai berucap pada Program Santai Silaturahim di Felda Kemasul. - Foto Aswadi Alias
LIOW Tiong Lai berucap pada Program Santai Silaturahim di Felda Kemasul. - Foto Aswadi Alias

Penyiasat Malaysia ke Nepal siasat nahas pesawat

BENTONG: Kementerian Pengangkutan menghantar pasukan Biro Siasatan Keselamatan Udara (BSKU) ke Nepal untuk menyiasat insiden pesawat Boeing 737 milik Malindo Airlines yang tergelincir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kathmandu, malam Khamis lalu.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata pihaknya menerima maklumat awal kejadian berkenaan namun siasatan terperinci perlu dilakukan bagi memastikan insiden seumpama itu tidak berulang pada masa depan.

"Prosedur (menghantar pasukan penyiasat) ini adalah mengikut standard keselamatan antarabangsa.

"Pasukan penyiasat berkenaan perlu menyiapkan laporan awal insiden itu dan menyerahkannya kepada kerajaan dalam tempoh sebulan," katanya pada sidang media selepas menghadiri program Santai Silaturahim FELDA Kemasul Bersama Pemimpin di FELDA Kemasul, hari ini.

Beliau mengulas insiden pesawat Boeing 737 milik Malindo Airlines yang membawa 139 penumpang tergelincir di landasan lapangan terbang berkenaan ketika berlepas tetapi tidak membabitkan kecederaan.

Kejadian itu menyebabkan pesawat berkenaan tergelincir ke bahagian berumput dan tersekat di dalam lumpur kira-kira 30 meter dari landasan.

Kejadian itu sebulan selepas tragedi pesawat US-Bangla Airways terhempas dan meragut 51 nyawa di lapangan terbang sama.

Sementara itu, pada Mac 2015, pesawat milik Turkish Airlines terbabas di landasan sama ketika mendarat, menyebabkan lapangan terbang berkenaan ditutup selama empat hari.

Berita Harian X