Khamis, 19 April 2018 | 11:26pm
Prof Dr Abdul Aziz Bari. - Foto Abdullah Yusof
Prof Dr Abdul Aziz Bari. - Foto Abdullah Yusof
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (kiri) menyerahkan bendera Parti Keadilan Rakyat kepada Calon DUN Tebing Tinggi,Prof Dr Abdul Aziz Bari pada majlis mengumumkan calon Pilihan Raya Umum Ke-14 di Wisma Chin Woo Ipoh. - Foto L. Manimaran
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (kiri) menyerahkan bendera Parti Keadilan Rakyat kepada Calon DUN Tebing Tinggi,Prof Dr Abdul Aziz Bari pada majlis mengumumkan calon Pilihan Raya Umum Ke-14 di Wisma Chin Woo Ipoh. - Foto L. Manimaran

DAP senaraikan Aziz Bari calon DUN Tebing Tinggi

IPOH: Seperti diduga, DAP Perak mengumumkan pakar perlembagaan, Prof Dr Abdul Aziz Bari sebagai calon tunggal Melayu bagi merebut tujuh kerusi Parlimen dan 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kali ini.

Pengumuman dibuat Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng di Wisma Chin Woo di sini, malam ini.

Sebelum ini Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming sudah pun diumumkan Guan Eng diletakkan bertanding di Parlimen Teluk Intan menentang Presiden GERAKAN, Datuk Seri Mah Siew Keong.

Daripada semua calon yang diumumkan juga, hanya Kor Ming yang diletakkan bertanding dua kerusi iaitu Parlimen Teluk Intan dan DUN Aulong beralih dari DUN Kepayang yang diwakili sebelum ini.

DAP turut mengetengahkan enam muka baharu yang akan bertanding di semua kerusi DUN.

Kerusi berkenaan adalah Canning, Tebing Tinggi, Jelapang, Menglembu, Astaka (dahulunya Sitiawan) dan Keranji.

Calon tunggal Melayu, Abdul Aziz Bari akan bertanding di DUN Tebing Tinggi, manakala penyandang kerusi itu, Ong Boon Piow berpindah ke DUN Bercham.

Penasihat DAP Perak, Datuk Ngeh Ko Ham yang sebelum ini bertanding di dua kerusi hanya bertanding mempertahankam Parlimen Beruas.

Kerusi Parlimen Taiping kini akan diambil penyandung DUN Aulong, Leow Thai Yee, sementara Ahli Parlimen Ipoh Timur, Thomas Su akan berpindah ke Parlimen Kampar.

Setiausaha DAP negeri, Wong Kah Woh, yang juga penyandang DUN Canning, akan menggantikan Thomas Su di Ipoh Timur, manakala DUN Canning akan di wakili Jenny Choy Tsi Jen.

Berita Harian X