Khamis, 19 April 2018 | 7:51pm
PESERTA Program Umrah Penggiat Seni dan Bekas Atlet Kebangsaan membaca doa sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - Foto Noor Atiqah Sulaiman
PESERTA Program Umrah Penggiat Seni dan Bekas Atlet Kebangsaan membaca doa sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - Foto Noor Atiqah Sulaiman

Terima kasih PM

SEPANG: Peserta Program Umrah Penggiat Seni dan Bekas Atlet Kebangsaan berterima kasih kepada Datuk Seri Najib Razak atas inisiatif membawa mereka mengerjakan ibadat umrah di Tanah Suci.

Bekas atlet angkat berat kebangsaan, Rameli Manap, 61, berkata, sekiranya idea berkenaan tidak diusulkan oleh Perdana Menteri, beliau mungkin tidak berpeluang untuk mengerjakan umrah.

Menurutnya, perasaan bersyukur sukar digambarkan sebaik menjejakkan kaki di Tanah Suci kerana walaupun sudah tidak lagi aktif dalam bidang sukan, dirinya masih diingati.

"Sampai di sana, saya mengalirkan air mata, sayu dan syahdu kerana akhirnya dapat juga menjejakkan kaki di Tanah Suci.

"Saya ini boleh dikatakan atlet dalam kumpulan D, kurang menyerlah seperti atlet sukan lain tetapi bila diberitahu terpilih untuk ke sana, saya terkedu, tidak tahu nak luah bagaimana.

"Terima kasih tidak terhingga kepada Perdana Menteri, tanpa idea dan inisiatif seperti ini tidak sampailah kami ke sana," katanya ketika ditemui media sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Rameli antara 11 individu yang dibawa mengerjakan umrah oleh Yayasan Perdana Ummah (YPU) dengan kerjasama Yayasan Mustika Kasih (YMK) dan Pejabat Penasihat Perdana Menteri.

Selain Rameli, peserta umrah lain yang terpilih ialah Hisham Ahmad Tajuddin (pelakon), Rashidah Jaafar (pelakon), Amir Ukays (penyanyi), Zolkifly Abd Ghani (pelakon), Mashitah Mohd Isa (pelakon), Sapri Ibrahim (Pengarah Seni) dan Ramliee Ahmad (atlet silat).

Berita Harian X