Ahad, 15 April 2018 | 5:14pm
DR. Say (duduk depan kiri) berkongsi tip penjagaan kesihatan di gerai pameran Lifestyle sempena Gegaria Fest di Amanjaya, Sungai Petani. - Foto Sharul Hafiz Zam
DR. Say (duduk depan kiri) berkongsi tip penjagaan kesihatan di gerai pameran Lifestyle sempena Gegaria Fest di Amanjaya, Sungai Petani. - Foto Sharul Hafiz Zam
PELAKON, Elfira Loy hadir di gerai pameran Lifestyle sempena Gegaria Fest di Amanjaya, Sungai Petani. - Foto Sharul Hafiz Zam
PELAKON, Elfira Loy hadir di gerai pameran Lifestyle sempena Gegaria Fest di Amanjaya, Sungai Petani. - Foto Sharul Hafiz Zam

Kehadiran orang Kedah meriahkan Festival GegaRia dihargai

SUNGAI PETANI: Acara kemuncak festival hiburan dan inspirasi tanpa henti, Festival GegaRia 2018 #KitaOK yang berlangsung di Amanjaya Mall, dekat sini berjaya mencapai sasaran mendekati dan berhubung dengan masyarakat apabila jumlah kunjungan yang direkodkan mencecah ratusan ribu sejak ia dilaksanakan sejak Januari lalu.

Sungai Petani adalah lokasi ketujuh penganjuran Festival GegaRia 2018 #KitaOK yang sebelum ini berjaya menggegarkan enam bandar membabitkan Shah Alam, Selangor; Johor Bahru, Johor; Kuantan, Pahang; Ipoh, Perak; Kuala Lumpur dan Seremban, Negeri Sembilan.

Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Seri Abdul Jalil Hamid, pihaknya menghargai kunjungan masyarakat di Kedah yang sama-sama memeriahkan Festival GegaRia meskipun ia diadakan pada hari bekerja.

Beliau berkata, ekoran kejayaan penganjurannya sebelum ini, pihaknya berhasrat untuk meneruskan Festival GegaRia dengan acara berikutnya akan diadakan sebelum hujung tahun ini.

"Di Kedah ini saya nampak pengujung tidak putus hadir meskipun Ahad adalah hari bekerja di sini dan saya bagi pihak Media Prima Berhad dan NSTP mengucapkan terima kasih atas sokongan hebat ini dari Shah Alam hinggalah ke Sungai Petani.

"Kita akan berehat buat sementara waktu dan kembali menemui orang ramai sebelum hujung tahun ini dengan rakan niaga dan agensi kerajaan di pinggiran bandar, " katanya.

Abdul Jalil berkata, bagi penganjuran akan datang pihaknya berhasrat untuk mengekalkan konsep sama namun mungkin menukar sedikit format bagi tujuan penambahbaikkan.

Katanya, pihak penganjur akan turut melakukan perbincangan untuk mengenalpasti kekurangan yang boleh ditambah baik supaya penganjuran akan datang mampu dijayakan dengan lebih hebat.

Festival anjuran Media Prima Berhad ini bukan sahaja dilaksanakan bagi mewujudkan ruang dan peluang untuk berhubung, berkongsi dan memberi inspirasi kepada masyarakat, namun ia juga adalah platform bagi warga milenia negara untuk mengekspresikan diri.

Bukan itu sahaja, malah festival yang baharu diperkenalkan tahun ini juga berjaya melaksanakan misinya untuk menyatukan belia dan menzahirkan mesej bahawa mereka sentiasa dihargai dan diperlukan dalam usaha memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa.

Meneruskan susun atur acara sebelumnya, Festival GegaRia #KitaOK di sini terbahagi kepada lima zon utama iaitu Zon Makan-Makan yang menawarkan pelbagai 'food truck'; Zon Throwback Tunnel pula ialah platform bagi pengunjung menimba inspirasi mengenai perkembangan negara.

Selain itu, Zon Gaya Hidup membawa pengunjung mendengar sesi perkongsian berkaitan pengurusan kewangan di tapak #YouCanDuit dan mengikuti topik panas membincangkan isu, tips fesyen serta keibubapaan bersama pasangan selebriti Scha Alyahya dan Awal Ashaari.

Turut diadakan ialah sesi perkongsian fesyen dan kecantikan oleh Elfira Loy, Kesihatan daripada Hanif Shawn dan Dr Say, 'Kata Serasi' oleh Diana Danielle dan Naz Rahman selain Noh Salleh akan mengacara satu sesi dalam Muzik dan Fesyen.

Festival GegarRia #KitaOK juga mengambil inisiatif berkhidmat kembali kepada masyarakat dengan mewujudkan Zon Komuniti membabitkan pelbagai aktiviti disediakan selama lapan jam untuk pengunjung termasuk semakan daftar pemilih dengan kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).

Tarikan terakhir festival ini iaitu Zon Hiburan yang beroperasi sepanjang hari bermula dengan aktiviti zumba di pentas utamanya, diikuti permainan elektronik dan fizikal serta demo memasak bersama Chef Iwan.

Sebelum melabuhkan tirainya, acara penutup Festival GegaRia 2018 #KitaOK menyajikan konsert yang menampilkan selebriti terkemuka tanahair termasuk Stacy, Akim & The Majistret, Faizal Tahir, Kugiran Masdo, Bunkface dan Hujan.

Berita Harian X