Ahad, 15 April 2018 | 3:54pm

Peminat serbu astaka permainan GegaRia

SUNGAI PETANI: Astaka permainan elektronik di acara kemuncak Festival GegaRia 2018 #KitaOK yang berlangsung di Amanjaya Mall, dekat sini, paling mendapat sambutan apabila ia diserbu ribuan peminat permainan maya itu sejak pagi.

Malah, ada yang sanggup menghabiskan masa sehingga empat jam hanya di astaka terbabit bagi menikmati permainan elektronik yang ditawarkan secara percuma itu sempena penganjuran festival terbabit.

Astaka permainan elektronik yang berada dalam Zon Hiburan itu menampilkan sehingga 10 stesen permainan antaranya membabitkan F1, Guitar Hero, Fifa Online 3, Teken 7 dan Mario Cart.

Lebih menarik kerana peminat permainan elektronik di sini bukan sekadar bermain namun berpeluang memenangi hadiah wang tunai yang keseluruhannya berjumlah RM10,000.

Penganjur, Mohd Syahir Zolbahare, berkata beliau menyifatkan sambutan yang diterima di lokasi ketujuh festival ini adalah paling meriah kerana peluang seperti ini jarang ditampilkan di mana-mana acara sebelum ini.

Beliau berkata, platform ini juga dijadikan lokasi pertemuan semula untuk komuniti pemain permainan elektronik berjumpa rakan lama selain bersaing dalam perlawanan bersama suasana sihat.

Mohd Syahir berkata, melalui penyertaan mereka dalam Festival GegaRia ini juga, pihaknya mahu memberi pendedahan dan kesedaran bahawa permainan elektronik di negara ini bukanlah suatu perkara negatif sebaliknya ia mampu dijadikan sebagai kerjaya profesional selain menjana pendapatan.

Festival GegaRia 2018 #KitaOK yang berlangsung di Amanjaya Mall, dekat sini, adalah acara kemuncak selepas ia berjaya menjelajah ke enam buah bandar sebelum ini iaitu di Shah Alam, Selangor; Johor Bahru, Johor; Kuantan, Pahang; Ipoh, Perak; Kuala Lumpur dan Seremban, Negeri Sembilan.

 PENGUNJUNG yang hadir bermain acara pecah belon di pameran KWSP sempena Gegaria Fest di Amanjaya, Sungai Petani. - Foto Sharul Hafiz Zam
PENGUNJUNG yang hadir bermain acara pecah belon di pameran KWSP sempena Gegaria Fest di Amanjaya, Sungai Petani. - Foto Sharul Hafiz Zam

Sehubungan itu, pengunjung, Afiq Zhafran Muhd Ghazali, 21, dari Taman Kelisa, dekat sini, berkata dia tidak melepaskan peluang keemasan menghabiskan masa berejam-jam bermain permainan elektronik Guitar Hero.

"Saya memang teruja dengan Festival GegaRia ini sebab sebelum ini tiada platform permainan elektronik ditawarkan pada mana-mana acara dan peluang ini tidak harus dilepaskan kerana sebelum ini saya terpaksa menghabiskan hingga RM40 jika ingin bermain permainan ini di pusat hiburan keluarga namun ia percuma di sini, " katanya.

Tarmizi Fozi, 31 dari Seberang Prai, Pulau Pinang, pula berkata dia sanggup memandu selama 40 minit semata-mata ingin hadir ke festival ini bagi bertemu komuniti permainan elektronik ini.

"Memang seronok sebab ia umpama pertemuan semula rakan yang sama-sama aktif dalam permainan elektronik ini....memang berbaloi meskipun terpaksa bangun awal untuk ke sini," katanya.

Pelbagai acara menarik ditawarkan di sini di lima buah zon iaitu Zon Makan-Makan, Zon Gaya Hidup, Zon Throwback Tunnel, Zon Komuniti dan Zon Hiburan yang berlangsung sejak pagi tadi.

Sebelum melabuhkan tirai malam ini, acara penutup Festival GegaRia 2018 #KitaOK menyajikan konsert yang menampilkan selebriti terkemuka tanahair termasuk Stacy, Akim & The Majistret, Faizal Tahir, Kugiran Masdo, Bunkface dan Hujan.

PENGUNJUNG yang hadir berpeluang menyertai My Game On di Festival GegaRia Amanjaya Sungai Petani. - Foto Zunnur Al Shafiq
PENGUNJUNG yang hadir berpeluang menyertai My Game On di Festival GegaRia Amanjaya Sungai Petani. - Foto Zunnur Al Shafiq
PENGUNJUNG yang hadir bermain acara pecah belon di pameran KWSP sempena Gegaria Fest di Amanjaya, Sungai Petani. - Foto Sharul Hafiz Zam
PENGUNJUNG yang hadir bermain acara pecah belon di pameran KWSP sempena Gegaria Fest di Amanjaya, Sungai Petani. - Foto Sharul Hafiz Zam
Berita Harian X