Khamis, 12 April 2018 | 5:06pm
PRESIDEN Persatuan Seniman (SENIMAN), Zed Zaidi. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
PRESIDEN Persatuan Seniman (SENIMAN), Zed Zaidi. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

SENIMAN harap ada artis calon PRU-14

KUALA LUMPUR: Persatuan Seniman (SENIMAN) menggesa sekurang-kurangnya seorang anak seni atau selebriti tanah air dicalonkan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebagai jaminan suara anak seni dapat diketengahkan ke peringkat tertinggi.

Bagaimanapun, Presidennya, Zed Zaidi, berkata calon itu perlu memiliki kredibiliti dan kebolehan pembabitan dalam persatuan dan setaraf ahli politik negara, bukan sekadar artis yang mempunyai populariti semata-mata.

Beliau berkata, pihaknya sedar sehingga hari ini masih tidak ada selebriti yang dinamakan untuk menggantikan Allahyarham Senator Tan Sri Jins Shamsudin yang meninggal dunia 1 Mac tahun lalu.

Sebelum ini, Jins menjadi satu-satunya anak seni yang diangkat sebagai Ahli Jawatankuasa Penaja UMNO Cawangan Coronation Road, Singapura pada 1959 dan seterusnya dilantik sebagai Senator pada 13 Oktober 2004.

"SENIMAN menggalakkan artis yang berminat menjadi calon pada pilihan raya tanpa mengira bertanding PRU-14 atas tiket parti mana sekali pun.

"Kita (persatuan) bangga apabila ada artis jadi calon kerana membuktikan kita (artis) tidak lagi di takuk lama. Ia satu pencapaian tertinggi pada anak seni kerana bukan saja diterima peminat tetapi turut diterima rakyat dan parti.

"Pencalonan memberi kesan baik kepada anak seni kerana kita ada wakil yang akan memperjuangkan untung nasib kita susulan dunia pekerjaan mencabar dan eksploitasi banyak pihak terhadap anak seni hari ini," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Zed Zaidi turut memberi contoh penerimaan rakyat terhadap artis ketika pilihan raya di luar negara termasuk Presiden ke-40 Amerika Syarikat (AS), Ronald Wilson Reagan (berkhidmat pada 1981-1989), Donald Trump serta Presiden Filipina, Joseph Estrada.

Katanya, penerimaan rakyat di Malaysia terhadap calon pilihan raya dalam kalangan artis baru bermula dan masih tidak ramai yang meletakkan kepercayaan kepada calon artis melainkan atas dasar undi popular peminat.

"Jika ada wakil anak seni di Dewan Rakyat atau Dewan Negara, saya yakin Akta Industri Kandungan Kreatif dapat diwartakan. Kita juga menggesa satu majlis anak seni ditubuhkan untuk menjayakan agenda ini.

"(Justeru) kebajikan dan jaminan pekerjaan termasuk terma kontrak, agihan pencen dan simpanan hari tua, masa bekerja dan royalti boleh dibincangkan bersama.

"Data Jabatan Perancangan Ekonomi menunjukkan sumbangan pendapatan industri kreatif adalah kira-kira satu peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar Negara (KDNK)," katanya.

Pembabitan pertama artis pada pilihan raya adalah menerusi Abu Bakar Ellah, yang bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut, Sabah sebagai calon Bebas dalam saingan lima penjuru pada PRU-11.

Seterusnya, tiga calon artis mencuba nasib pada PRU-13 termasuk Herman Tino yang bertanding atas tiket Bebas di Parlimen Tanjung Karang, Dayangku Intan (PKR - Parlimen Penggerang, Johor) dan Aishah (PAS - Parlimen Jempol, Negeri Sembilan).

Bagaimanapun, perjalanan politik semua anak seni gagal mendapat tempat dalam pentas politik demokrasi tanah air.

Berita Harian X