Sabtu, 7 April 2018 | 5:20pm
PANGLIMA Tentera Laut Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin bergambar bersama pesara TLDM pada Majlis Fair Winds and Following Seas 2018 di Dewan Shariff, Pangkalan TLDM. - Foto Ihsan TLDM
PANGLIMA Tentera Laut Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin bergambar bersama pesara TLDM pada Majlis Fair Winds and Following Seas 2018 di Dewan Shariff, Pangkalan TLDM. - Foto Ihsan TLDM

'Gunakan hak mengundi'

LUMUT: Anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diingatkan sentiasa mematuhi Peraturan Am Angkatan Tentera untuk tidak terbabit secara langsung dalam kempen atau aktiviti sebarang parti politik pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Panglima TLDM, Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin, berkata mengundi adalah hak mereka sebagai rakyat dan TLDM menggalakkan warganya menunaikan tanggungjawab itu.

Bagaimanapun, katanya, Peraturan Am Angkatan Tentera yang melarang mereka terbabit secara secara aktif dalam mana-mana parti politik perlu mesti dipatuhi.

"Mengundi adalah hak kita (sebagai rakyat) dan saya mengharapkan semua anggota tidak melepaskan kewajipan ini.

"Mengundi dengan bijak dan jangan mudah terpengaruh dengan unsur yang mahu melihat perpecahan, termasuk berita palsu yang boleh menjejaskan kesejahteraan," katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Fair Winds and Following Seas 2018 di Dewan Shariff, Pangkalan TLDM di sini, hari ini.

Pada majlis ramah mesra itu, hampir 1,000 pesara TLDM diraikan sebagai menghargai jasa dan pengorbanan mereka sepanjang dalam perkhidmatan.

Ahmad Kamarulzaman turut menyampaikan Sijil Simpanan Premium BSN dan sijil penghargaan TLDM kepada pesara terbabit.

Sementara itu, Ahmad Kamarulzaman berkata, TLDM akan memberi cuti tanpa rekod kepada anggota yang ingin pulang ke kampung untuk mengundi pada PRU-14.

"Kita mudahkan urusan mereka mengundi dan akan beri cuti tanpa rekod untuk warga TLDM menjalankan kewajipan sebagai rakyat selain menggalakkan mereka mengundi," katanya.

Sementara itu, seorang pesara TLDM, Nik Ezanee Nek Anom, 51, gembira diraikan dalam majlis yang mengumpulkan ramai bekas rakannya.

"Biarpun sudah bersara, kami masih boleh bertukar pandangan dengan pasukan yang menunjukkan pesara seperti kami tidak dilupakan.

"Malah, pelbagai kemudahan juga masih boleh dinikmati seperti jualan barangan Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) yang membantu mengurangkan kos sara hidup," katanya yang bersara tahun lalu.

Berita Harian X