Rabu, 4 April 2018 | 6:10pm
MOHD Nur Ismal Mohamed Kamal. - Foto Sairien Nafis
MOHD Nur Ismal Mohamed Kamal. - Foto Sairien Nafis

JAS lulus laporan EIA projek KL-SG HSR

KUALA LUMPUR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Isnin lalu meluluskan laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) berhubung projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (KL-SG HSR).

Ketua Pegawai Eksekutif MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp), Datuk Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal, berkata dengan kelulusan itu projek KL-SG HSR mara setapak ke hadapan, sekali gus membolehkan pihaknya mendapat kelulusan Skim Kereta Api.

Beliau berkata, laporan EIA diserahkan kepada JAS pada 13 Disember tahun lalu dan perlu dipamerkan untuk tempoh satu bulan bermula 23 Disember 2017 hingga 25 Januari lalu bagi membolehkan orang ramai memberi maklum balas dan ulasan.

Katanya, laporan EIA adalah proses mandatori mengikut Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 bertujuan mengenal pasti, meramal dan menilai impak projek KL-SG HSR kepada alam sekitar.

"Laporan EIA turut mengenal pasti dan mencadangkan langkah mitigasi dalam menangani impak pada tahap pembinaan dan operasi.

"Kelulusan itu adalah pencapaian besar pihak kami dan akan terus membuka jalan untuk projek KL-SG HSR bergerak ke hadapan," katanya dalam satu kenyataannya di sini, hari ini.

Projek KL-SG HSR dijangka mempunyai jajaran sejauh 328 kilometer (km) dengan tujuh stesen di Malaysia iaitu Bandar Malaysia, Bangi-Putrajaya, Seremban, Melaka, Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri.

Daripada jumlah itu, Johor mempunyai jajaran terpanjang 182 km, manakala di Singapura, stesen itu akan ditempatkan di Jurong East.

KL-SG HSR bakal menjadi mod pengangkutan awam rel paling laju dengan kelajuan maksima 320 km sejam, sejauh 350 km dan hanya 90 minit masa perjalanan dari Kuala Lumpur ke Singapura, dijangka beroperasi menjelang akhir tahun 2026

Berita Harian X