Rabu, 4 April 2018 | 2:40pm
DATUK Lim Ban Hong, menunjukkan iklan penerbangan Melaka - Medan yang disediakan Wings Air di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM). - Foto Norizzah Baharudin
DATUK Lim Ban Hong, menunjukkan iklan penerbangan Melaka - Medan yang disediakan Wings Air di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM). - Foto Norizzah Baharudin
DATUK Lim Ban Hong, menunjukkan laluan penerbangan Melaka ke Medan di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM). - Foto Norizzah Baharudin
DATUK Lim Ban Hong, menunjukkan laluan penerbangan Melaka ke Medan di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM). - Foto Norizzah Baharudin

Wings Air mula penerbangan ke Medan dari LTAM

MELAKA: Wings Air, anak syarikat Lion Air Group, Indonesia akan memulakan operasi penerbangan setiap hari ke Medan dari Lapangan Antarabangsa Batu Berendam (LTAM), bermula 20 April ini.

EXCO Pengangkutan, Pemulihan Projek dan Perdagangan Antarabangsa negeri, Datuk Lim Ban Hong, berkata ia adalah laluan ketiga syarikat penerbangan itu di negara ini selepas ke Miri dan Kuching, Sarawak.

Katanya, penerbangan kendalian Wings Air, anak syarikat penerbangan swasta terbesar Indonesia itu akan menggunakan pesawat ATR-772 dengan 72 penumpang pada satu-satu masa.

"Syarikat ini menyediakan penerbangan selama sejam iaitu pada jam 4.30 petang dari Medan ke Melaka dan jam 6 petang dari LTAM ke Medan.

"Ia (penerbangan) dijadualkan setiap hari, sekali gus dijangka merancakkan industri pelancongan di negeri ini," katanya pada sidang media di LTAM di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pemangku Pengurus LTAM, Zalina Zakaria dan Pengurus Stesen Malindo Air Melaka, Asmawati Sapie.

Selain penerbangan Wings Air, LTAM turut menyediakan laluan ke Pekan Baru, Indonesia dan Pulau Pinang melalui perkhidmatan Malindo Air.

Ban Hong berkata, tahun lalu, LTAM mencatatkan seramai 56,865 penumpang manakala sehingga Mac lalu, lapangan terbang itu merekodkan seramai 15,726 penumpang.

Katanya, Melaka adalah destinasi tumpuan bukan sahaja dalam sektor pelancongan kesihatan, malah tarikan dalam sektor pelaburan dan pendidikan.

Berita Harian X