Isnin, 2 April 2018 | 5:08pm
KOMPLEKS Petroleum Bersepadu Pengerang menarik pelaburan tinggi pelabur asing.
KOMPLEKS Petroleum Bersepadu Pengerang menarik pelaburan tinggi pelabur asing.
SEKTOR pemborongan dan peruncitan terus merangsang ekonomi negara.
SEKTOR pemborongan dan peruncitan terus merangsang ekonomi negara.

Program transformasi bina daya tahan ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR: Program Transformasi Negara (NTP) terus membina daya tahan ekonomi Malaysia melalui usaha mempelbagaikan ekonomi yang diterajui 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), demikian menurut Laporan Tahunan NTP 2017.

Laporan itu menjelaskan, hasil negara daripada NKEA mewakili 75 peratus Pendapatan Negara Kasar (PNK) yang berjumlah RM1.316 trilion pada harga semasa tahun lalu.

Katanya, kepelbagaian ekonomi melalui NKEA dapat dilihat melalui pengurangan kebergantungan minyak dan gas sebagai sumber pendapatan kerajaan dan meningkatkan sumbangan daripada sektor utama lain.

"Pada 2017, pendapatan hasil sektor minyak dan gas mewakili 15 peratus hasil kerajaan, pengurangan ketara berbanding 41 peratus pada 2009.

"Pendapatan kerajaan meningkat daripada RM185 bilion pada 2011 kepada RM225 bilion pada 2017 dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) tiga peratus dalam tempoh berkenaan," kata laporan itu.

Tambah baik daya saing global

Secara keseluruhannya, NTP menambah baik daya saing global negara apabila Malaysia melonjak dari tangga ke-25 pada 2016 ke tangga ke23 pada 2017 dalam Indeks Daya Saing Global Forum Ekonomi Dunia.

"Pencapaian ini meletakkan kita di antara negara yang teratas di rantau Asia. Dari segi kemudahan untuk menjalankan perniagaan, Malaysia menduduki tempat ke-24 daripada 190 negara menerusi Laporan Menjalankan Perniagaan Bank Dunia 2018, yang mana kita adalah negara kedua teratas di kalangan negara ASEAN dan keempat terbaik di Asia Pasifik.

"Hal ini jelas dengan termeterainya pelaburan yang dibuat oleh beberapa syarikat ternama dunia seperti Broadcom Ltd, yang memindahkan Hab Pengedaran Globalnya dari Singapura ke Malaysia tahun lalu.

"Huawei selaku penyedia penyelesaian teknologi maklumat dan komunikas Global (ICT), turut menjadikan Malaysia sebagai ibu pejabat operasi serantau tahun lalu, manakala konglomerat e-dagang China Alibaba Group menubuhkan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) di Sepang," tambah laporan itu.

Mengenai DFTZ, inisiatif pertama di dunia yang dilancarkan pada Mac 2017 itu meningkatkan pertumbuhan e-dagang Malaysia dan meletakkan negara sebagai hab serantau untuk inovasi berasaskan internet.

Dari segi sumbangan NKEA kepada PNK negara, sektor minyak, gas dan tenaga muncul penyumbang tertinggi sebanyak RM203.5 bilion.

Inisiatif utama di bawah NKEA adalah Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang yang menarik pelaburan tinggi daripada Saudi Aramco, yang komited melabur AS$7 bilion untuk memperoleh kepentingan 50 peratus dalam Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) PETRONAS tahun lalu.

Sektor pemborongan dan peruncitan turut menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi tahun lalu dengan sumbangan PNK sebanyak RM201.9 bilion.

Dalam sektor perkhidmatan kewangan negara, sehingga 2017, nilai modal, pasaran ekuiti dan hutang masing-masing berjumlah RM3.2 trilion, RM1.9 trilion dan RM1.3 trilion, manakala aset di bawah pengurusan (AUM) berjumlah RM776.2 bilion.

Peneraju terbitan sukuk

SEKTOR pelancongan menarik 25.7 juta pelancong tahun lalu.
SEKTOR pelancongan menarik 25.7 juta pelancong tahun lalu.

Malaysia menguasai 30 peratus daripada jumlah nilai pasaran global aset syariah dan juga adalah peneraju terbitan sukuk pada peringkat antarabangsa.

Malaysia mengekalkan daya tarikannya sebagai destinasi pendidikan bertaraf dunia dengan peningkatan jumlah pelajar kepada 170,068 pendaftaran dalam institusi pengajian tinggi pada tahun 2017 berbanding 70,000 orang pada 2010.

Sektor pelancongan menarik 25.7 juta pelancong pada 2017 susulan pelancaran kemudahan e-Visa bagi pelancong dari 10 negara, termasuk China, India dan Bhutan.

Perolehan pelancongan mencapai RM81.4 bilion pada 2017 dan sejak 2011, sektor itu menyumbang RM81.1 bilion kepada PNK negara.

Ia dicapai dengan usaha kerajaan memantapkan tawaran dan tarikan pelancongan, sekali gus menjadikan Malaysia antara 17 destinasi mesti dilawati pada 2017 oleh CNN Travel.

Ipoh, Perak juga disenaraikan Lonely Planet sebagai antara 10 bandar percutian terbaik pada 2017 manakala Kuala Lumpur dinamakan dalam 10 bandar terbaik di dunia dari aspek pertumbuhan pelancongan oleh World Travel and Tourism Council (WTTC).

Aeroangkasa lonjak negara jadi pusat perkhidmatan global

Pelaksanaan Program Transformasi Negara (NTP) adalah antara bukti Malaysia mampu mengekalkan kedudukannya sebagai pusat perkhidmatan perniagaan berdaya saing di peringkat global.

Tahun 2017 menyaksikan sektor perkhidmatan dan perniagaan menjana pelaburan RM41.1 bilion dan mencatat Pendapatan Kasar Negara (PNK) sebanyak RM64 bilion.

Pencapaian itu meletakkan Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA) pada landasan tepat untuk mencapai sasaran PNK keseluruhan bagi 2020 iaitu sebanyak RM78.7 bilion.

Sebagai contoh, industri aeroangkasa Malaysia mencapai kemajuan mengagumkan dalam usaha menjadi hab aeroangkasa serantau dan pembekal sumber tunggal bagi pembuatan penutup kipas Airbus A350, selain kelongsong kipas bagi enjin Trent 1000 dan Trent 7000 Rolls Royce.

Pertumbuhan dan pembangunan industri pembuatan aeroangkasa banyak disumbang oleh usaha kerajaan melalui program NTP dan sokongan agensi seperti Pejabat Penyelarasan Industri Aeroangkasa Kebangsaan (NAICO).

NAICO ditubuhkan pada Ogos 2015 untuk membangun dan menambah baik industri aeroangkasa tempatan, melaksanakan Pelan Induk Pembangunan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030, menyelaras dan memantau program pembangunan industri aeroangkasa, di samping pusat rujukan pelabur asing dan domestik.

Prospek menggalakkan

Ketua NAICO, Shamsul Kamar Abu Samah.
Ketua NAICO, Shamsul Kamar Abu Samah.

Ketua NAICO, Shamsul Kamar Abu Samah, berkata prospek bagi sektor aeroangkasa Malaysia amat menggalakkan dengan perkembangan perniagaan dua syarikat penerbangan utama negara, AirAsia dan Malaysia Airlines.

"Pertambahan pesawat bermakna akan wujud lebih banyak aktiviti kejuruteraan dalam bidang ini," katanya.

NAICO turut bekerjasama dengan Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp) untuk membangunkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) aeroangkasa serta PKS yang berminat memasuki industri aeroangkasa.

Ia juga terbabit dalam pembangunan infrastruktur menyokong pertumbuhan industri aeroangkasa tempatan.

Agensi itu bekerjasama dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) untuk membangunkan KLIAAeropolis dan UMW bagi membangunkan Taman Pengeluaran Logam Keras Aeroangkasa di Serendah, Selangor.

Aerospace Partners Engineering (APE), PKS dari Johor menghasilkan bahagian untuk syarikat kelengkapan dalaman pesawat di Singapura.

APE ditubuhkan pada 2010 oleh bekas kakitangan Malaysia Airlines, Jeffrey Lee dan syarikat berkenaan berjaya mendapatkan pelbagai kontrak, termasuk kontrak pada 2012 untuk mereka bahagian untuk tempat duduk Kelas Perniagaan Singapore Airlines.

Syarikat terbabit mempunyai keupayaan untuk menghasilkan 2,000 bahagian dimesin jitu yang digunakan dalam pesawat di seluruh dunia termasuklah SilkAir, Xiamen Airlines dan Aeromexico.

Lee berkata NKEA ini juga telah membantu APE berhubung dengan pelanggan potensi Tahap 1 dan Tahap2serta rakan-rakan kongsi di Malaysia.

"Program ini menyediakan platform perangkaian kepada PKS untuk berkongsi pengalaman, kemahiran dan sumber yang boleh membantu dalam menghasilkan bidaan yang lebih berdaya saing untuk mendapatkan kontrak," katanya.

APE juga dibawa ke United Kingdom untuk belajar mengenai industri aeroangkasa dengan lebih mendalam yang mana para peserta program di bawa melawat Farnborough Airshow serta menyertai sesi khas industri di Cranfield University.

Berita Harian X