Isnin, 2 April 2018 | 2:11pm

FELDA kisah kejayaan BN - PM

BERA: FELDA adalah cerita kejayaan hasil komitmen berterusan kerajaan Barisan Nasional (BN), kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, masyarakat peneroka dan luar bandar perlu memastikan BN kekal memerintah negara menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) supaya transformasi FELDA dan luar bandar dapat dilaksanakan secara berterusan.

Beliau berkata, komitmen kepemimpinan BN dalam membangunkan FELDA dan luar bandar sejak penubuhannya oleh Allahyarham bapanya, Tun Razak Hussein, pada 1956 menyaksikan banyak transformasi dilaksanakan sehingga peneroka FELDA semakin selesa dan maju.

Katanya, banyak negara lain termasuk dari Afrika mahu menjadikan contoh kejayaan FELDA di negara masing-masing tetapi tiada yang berupaya melakukannya seperti Malaysia.

"Ini bukti komitmen pemimpin sejak dulu dan jika semua (peneroka) memberi sokongan padu kepada BN, maka saya dan rakan-rakan dalam BN akan menjaga FELDA sebaik mungkin.

"Tidak seperti pemimpin pembangkang berusia 93 tahun yang mahu gagal membela nasib peneroka walaupun ketika memerintah negara selama 22 tahun.

"Jauh beza komitmen membangunkan kawasan luar bandar antara Tun Abdul Razak dan Tun Dr Mahathir Mohamad. Bayangkan jika beliau (Dr Mahathir) kembali memerintah, apa nasib masyarakat FELDA nanti jika dia mahu batalkan perjanjian dengan China.

"Siapa mahu beli minyak sawit?" katanya pada majlis pelancaran Model Baharu Lot Perumahan Generasi Baharu FELDA di Padang Awam, FELDA Kumai, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, Datuk Fadil Osman dan ADUN Guai, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman.

Najib berkata, bagi fasa pertama projek itu, sebanyak 5,000 rumah model baharu akan dibina di seluruh negara, termasuk 3,000 unit rumah di Pahang.

Katanya, ia merangkumi 900 lot di 14 tanah rancangan di Parlimen Bera dengan peruntukan keseluruhan RM164 juta daripada kerajaan.

"Program model baharu lot perumahan generasi baharu Felda ini satu program baharu yang dicadangkan oleh Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad.

"Melalui konsep ini, harga rumah dijual RM75,000 seunit dengan kerajaan beri subsidi RM20,000 dan pemohon hanya perlu buat pinjaman RM55,000," katanya.

Setiap lot tanah seluas 371 meter persegi manakala rumah setingkat berkeluasan 92.9 meter persegi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air diberi keutamaan pemilikan kepada generasi baharu FELDA yang mempunyai pendapatan kasar antara RM1,000 sehingga RM3,000 sebulan.

INFO

* FELDA mengenal pasti tapak sesuai dan mendapatkan peserta.

* Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) membina rumah, sediakan pembiayaan dan kutipan semula pembiayaan.

* Kos menyediakan kemudahan infrastruktur ditanggung kerajaan berjumlah RM300 juta.

DATUK Seri Najib Razak berucap pada majlis pelancaran Model Terbaru Lot Perumahan Generasi Baharu Felda di Padang Awam, Felda Kumai. - Foto Farizul Hafiz Awang
DATUK Seri Najib Razak berucap pada majlis pelancaran Model Terbaru Lot Perumahan Generasi Baharu Felda di Padang Awam, Felda Kumai. - Foto Farizul Hafiz Awang
DATUK Seri Najib Razak (dua kiri) menyerahkan replika cek kepada Wakil Peneroka Wilayah Mempaga, Mansor Hashim (tiga kanan) sambil diperhatikan oleh, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (empat kanan), Datuk Seri Adnan Yaakob (kiri) dan Tan Sri Shahrir Abdul Samad (kanan) pada majlis pelancaran Model Terbaru Lot Perumahan Generasi Baharu Felda di Padang Awam, Felda Kumai. - Foto Farizul Hafiz Awang
DATUK Seri Najib Razak (dua kiri) menyerahkan replika cek kepada Wakil Peneroka Wilayah Mempaga, Mansor Hashim (tiga kanan) sambil diperhatikan oleh, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (empat kanan), Datuk Seri Adnan Yaakob (kiri) dan Tan Sri Shahrir Abdul Samad (kanan) pada majlis pelancaran Model Terbaru Lot Perumahan Generasi Baharu Felda di Padang Awam, Felda Kumai. - Foto Farizul Hafiz Awang
Berita Harian X