Sabtu, 31 March 2018 | 7:40pm

Pembangunan pesat pendidikan hasil komitmen kerajaan

KUALA LUMPUR: Pembangunan pesat bidang pendidikan negara, terutama sejak beberapa tahun kebelakangan ini, adalah testimoni yang tidak mampu disanggah, hasil komitmen kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif strategik dan tindakan progresif.

Peningkatan peluang, kemudahan dan kualiti tinggi pendidikan yang dikecapi segenap lapisan rakyat ini, malah diperakui banyak pengiktirafan antarabangsa, sudah cukup membuktikan kerajaan bukan sekadar mencanang omong kosong mahu pun menabur janji manis untuk meraih populariti.

Realiti itu turut didukung fakta jelas dalam Laporan Tahunan Program Transformasi Negara (NTP) 2017, yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, baru-baru ini.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata pencapaian itu amat signifikan kepada seluruh masyarakat.

Katanya, rakyat kini tidak lagi mudah disogokkan janji manis semata-mata tanpa bukti perancangan dan pelaksanaan yang membuahkan hasil menggembirakan mereka.

"Kerajaan berjaya menunjukkan bahawa janji diberi bukan sekadar janji, tetapi janji yang sudah dikotakan dengan bukti kukuh dan hasil positif.

"Ini mampu memberi keyakinan kepada masyarakat bahawa perkara disebut dan diusahakan kerajaan adalah realistik bersama inisiatif bagus, bukan angan-angan mahu pun omong kosong untuk menarik minat atau pujian semata-mata," katanya kepada NSTP, semalam.

Sokongan padu perlu diberi kepada kerajaan

Justeru, Mohammad Shatar berkata, sokongan padu perlu diberi kepada kerajaan bagi meneruskan legasi kecemerlangan itu demi faedah dan kepentingan generasi akan datang.

"Amat menyedihkan jika sekian banyak pelaburan, strategi dan inisiatif dilaksanakan kerajaan ini terputus di tengah jalan kerana nasib rakyat secara umum bergantung pada tahap penekanan terhadap pendidikan.

"Kita tahu pendidikan mampu mengubah segalanya. Oleh itu, usaha kerajaan ini perlu diberi penghargaan dan diteruskan bagi melestari kecemerlangan serta kemajuan pendidikan, sekali gus mencapai matlamat agenda transformasi negara," katanya.

Sementara itu, tokoh pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata kerajaan jelas menekankan fokus utama terhadap kepentingan pendidikan dengan memberi peruntukan terbesar kepada bidang itu dalam bajet negara setiap tahun.

Bekas Ketua Pengarah Pelajaran itu, yang juga Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) berkata, kerajaan cukup prihatin memastikan rakyat menikmati pembangunan pendidikan berkualiti tinggi.

"Kerajaan membuat pelaburan besar dalam bidang pendidikan dengan harapan ia akan membuahkan pulangan positif pada masa depan.

"Yang penting, rakyat mendapat pendidikan terbaik kerana ia menjadi asas untuk menyumbang ke arah pembangunan negara.

"Kita sedang menuju ke satu tahap majoriti rakyat berpendidikan tinggi. Apabila tahap itu berjaya dicapai nanti, ia akan memberi manfaat besar kepada negara," katanya.

Hasil pelaksanaan NTP antara lain menyaksikan impak positif terhadap daya saing murid melalui Program Dwibahasa (DLP).

Skor Bahasa Inggeris meningkat sebanyak 36.4 peratus dalam kalangan murid sekolah rendah, manakala pelajar sekolah menengah pula 46.4 peratus bagi peperiksaan akhir tahun subjek itu.

Sebanyak 1,214 sekolah membabitkan 129,8859 pelajar mengikuti program itu tahun lalu, berbanding hanya 378 sekolah pada 2016.

Kementerian Pendidikan turut memberi tumpuan terhadap pelaksanaan sesi latihan intensif untuk guru Bahasa Inggeris.

Setakat ini, 34 peratus guru Bahasa Inggeris di seluruh negara sudah mencapai tahap penguasaan minimum C1.

Destinasi pilihan penuntut antarabangsa

Selain itu, negara kini menjadi destinasi pilihan penuntut antarabangsa dengan lebih 170,068 pelajar berkenaan mengikuti pengajian di pelbagai institusi tahun lalu, sekali gus menjadikan Malaysia peneraju global untuk pendidikan antarabangsa.

Daripada jumlah itu, 136,293 pelajar antarabangsa melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi; sekolah dan pusat bahasa (33,031); serta institusi teknikal dan vokasional (744).

Malaysia juga menjadi pilihan sebagai hab pendidikan global dengan 11 kampus cawangan universiti bertaraf dunia iaitu Nottingham University, Reading University, Xiamen University, Heriot-Watt University, Curtin University, Monash University, Raffles University, Asia School of Business, University of Southampton, Newcastle University of Medicine, dan Swinburne University of Technology.

Universiti negara juga berjaya muncul antara 50 terbaik dunia dalam pelbagai bidang, antaranya Hospitaliti dan pengurusan riadah, kejuruteraan elektronik dan elektrikal, kejuruteraan kimia, kejuruteraan mekanikal serta sains alam sekitar.

Program Dwibahasa berjaya tarik minat kuasai bahasa Inggeris

Program Dwibahasa (DLP) dan Program Imersif Tinggi (HIP), yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan berjaya menanam minat dan kesedaran murid mengenai kepentingan penggunaan bahasa Inggeris.

Justeru, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Lesong, Ahmad Kamari Salleh, berharap program seperti itu diperkasa setiap tahun kerana ia membantu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid, sekali gus meningkatkan keyakinan dalam diri mereka.

"Program ini juga unik kerana mengiktiraf bahasa Inggeris dan memberi kuasa kepada pihak sekolah dalam merancang dan melaksanakan pelbagai program dengan kapasiti tersendiri.

Murid berucap dalam bahasa Inggeris

"Seperti di sini, murid akan berucap dalam bahasa berkenaan di hadapan guru dan murid lain pada waktu perhimpunan sekolah.

"Kejayaan program ini adalah hasil usaha guru, ibu bapa dan komuniti, yang secara langsung terbabit dalam pelbagai aktiviti di sekolah bagi membantu mewujudkan minat berbahasa Inggeris dalam kalangan murid," katanya.

Bapa pelajar, Kamal Azzaynee Mustafa, 36, berkata, penggunaan bahasa Inggeris sebagai medium pengajaran membina keyakinan kepada murid untuk bertutur dalam bahasa itu.

"Program ini menambah penguasaan bahasa Inggeris dalam diri mereka, tetapi pada masa sama tidak menolak bahasa Melayu, Mandarin atau Tamil.

"Ini kerana bahasa Inggeris akan selalu menjadi bahasa kedua kepada bahasa Melayu, Mandarin atau Tamil," katanya.

Murid Tahun Enam, Firzana Amani Amin Sabri, 12, berkata proses pengajaran dan pembelajaran serta aktiviti yang dijalankan dalam bilik darjah adalah lebih menyeronokkan dan interaktif.

"Setiap hari, saya dapat mengetahui dan menguasai satu perkataan baharu daripada bahasa Inggeris dan ini akan membantu saya untuk menambah pengetahuan serta perbendaharaan kata saya," katanya.

Turut berkongsi minat yang sama ialah murid Tahun Lima, Muhd Amir Akmal Kamarul Baharin, 11, yang menggambarkan penggunaan bahasa Inggeris dalam pembelajaran adalah lebih senang dan mudah untuk difahami.

"Saya suka bahasa Inggeris dan dengan adanya program ini, saya tahu, suatu hari nanti, penguasaan dan kefasihan saya dalam bahasa ini akan membantu saya untuk mendapat kerja," katanya.

KAMALANATHAN pada sidang media pengagihan peruntukan khas fasa kedua bagi SJKT di Putrajaya, semalam. - Foto BERNAMA
KAMALANATHAN pada sidang media pengagihan peruntukan khas fasa kedua bagi SJKT di Putrajaya, semalam. - Foto BERNAMA

RM1b bina, naik taraf sekolah Tamil seluruh negara

Kerajaan memperuntukkan dana hampir RM1 bilion bagi membina, naik taraf dan menyelenggara 524 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan, berkata sehingga kini sebanyak 80 hingga 90 peratus daripada jumlah peruntukan itu sudah digunakan untuk proses penambahbaikan dan penyelenggaraan infrastruktur.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa menunaikan janji menyalurkan peruntukan kepada semua sekolah termasuk SJKT kerajaan bagi memastikan tiada sekolah yang tercicir dan dibantu secara saksama.

"Semua dana ini digunakan dengan sebaik mungkin selaras dengan usaha kerajaan dalam memperkasakan masyarakat India menerusi pelbagai bidang termasuk pendidikan.

"Terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam kerana memartabatkan imej dan infrastruktur SJKT," katanya pada sidang media mengenai pengagihan peruntukan khas fasa kedua bagi SJKT di sini, semalam.

Peruntukan fasa kedua

Katanya, peruntukan fasa kedua sebanyak RM25 juta itu akan diagihkan kepada 284 SJKT iaitu 251 sekolah bantuan kerajaan dan 33 sekolah kerajaan bermula bulan depan.

"Peruntukan ini bukan sahaja untuk kerja penyelenggaran bangunan sekolah tetapi meliputi penambahbaikan dari segi fasiliti sukan dan Projek Kelas Abad ke-21.

"Malah, penyerahan cek peruntukan khas penyelengaraan fasa kedua ini akan diserahkan kepada sekolah serta surat setuju terima untuk pembinaan SJKT yang ke-530 pada 2 April ini," katanya.

Menurut beliau, pembinaan enam sekolah itu adalah janji kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

"Selain itu, Perdana Menteri juga sudah meluluskan peruntukan RM50 juta lagi dalam Bajet 2018 yang akan diagihkan kepada lebih 80 SJKT yang belum menerima dana pada April atau Mei nanti," katanya.

Berita Harian X