Sabtu, 31 March 2018 | 7:01pm
KETUA Bahagian Penjenamaan dan Komunikasi MDEC, Noreen Sabrina Mohd Noor ketika berada di gerai pameran #YouCanDuit sempena Festival GegaRia di Pusat Konvensyen dan Pameran MATRADE. - Foto Zunnur Al Shafiq
KETUA Bahagian Penjenamaan dan Komunikasi MDEC, Noreen Sabrina Mohd Noor ketika berada di gerai pameran #YouCanDuit sempena Festival GegaRia di Pusat Konvensyen dan Pameran MATRADE. - Foto Zunnur Al Shafiq

GegaRia: MDEC sasar latih 120,000 usahawan digital

KUALA LUMPUR: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menyasarkan 120,000 usahawan digital baharu berupaya dilatih menjelang akhir tahun ini.

Ketua Bahagian Penjenamaan dan Komunikasinya, Noreen Sabrina Mohd Noor, berkata pencarian usahawan digital yang giat dilaksanakan sejak 2016 itu mula menunjukkan momentum dan pertumbuhan positif.

"Fokus ketika ini adalah untuk mengetengahkan usahawan digital ke fasa seterusnya, menerusi program Barangan Luar Biasa Eksklusif E-usahawan (Blee) bagi melonjak daya saing mereka.

"Produk dan perkhidmatan Blee akan dipasarkan menerusi saluran pasaran digital, iaitu MyBazar dan MDEC menyasarkan tiga lagi paltform seumpamanya menjelang penghujung tahun ini.

"Oleh itu, kita akan lonjak momentum e-usahawan menerusi empat platform ini," katanya ketika ditemui NSTP di gerai #YouCanDuit, sempena Festival GegaRia 2018, di perkarangan Pusat Pameran dan Konvensyen Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), di sini, hari ini.

Noreen berkata, MDEC optimis penganjuran GegaRia di lokasi keenam, iaitu Seremban pada 7 April ini bakal menyaksikan lebih ramai usahawan mikro direkrut.

Selain itu, katanya, perbadanan itu akan menampilkan selebriti dan penyanyi, Aiman Tino dalam usaha menarik lebih ramai pengunjung hadir ke gerai #YouCanDuit.

"Seremban adalah antara lokasi sasaran yang kita jangkakan lebih ramai usahawan mikro berada di sekitar kawasan berkenaan.

"Oleh itu, MDEC yakin sasaran 30,000 pengunjung untuk hadir di Festival GegaRia 2018 di Seremban adalah pentas terbaik untuk mengetengahkan dan mengenal pasti usahawan mikro baharu," katanya.

Berita Harian X