Sabtu, 31 March 2018 | 12:41pm
TENGKU Rosmarini yang membeli barangan keperluan dengan harga murah pada program Jimat Belanja Dapur (JBD) peringkat kebangsaan di Bandar Dara Chini. - Foto Amin Ishak
TENGKU Rosmarini yang membeli barangan keperluan dengan harga murah pada program Jimat Belanja Dapur (JBD) peringkat kebangsaan di Bandar Dara Chini. - Foto Amin Ishak

'Berbaloi belanja di JBD'

PEKAN: "Memang berbaloi berbelanja di program Jimat Belanja Dapur (JBD), harganya murah dan dapat menjimatkan perbelanjaan terutama untuk mereka yang berkeluarga besar," kata suri rumah, Tengku Rosmarini Tengku Jaapar.

Tengku Rosmarini, 35, dari FELDA Chini 4, berkata beliau mengambil kesempatan berkunjung ke jualan itu di Bandar Dara Chini, dekat sini, bagi membeli barangan keperluan harian seperti beras, sayur dan ayam.

"Harganya memang murah contohnya hari ini saya dapat beli tiga biji petola hanya dengan harga RM2, di luar sana sebiji dalam RM2, banyak lagi barangan murah, sebab itu ramai yang datang.

"Bagus bila ada jualan murah untuk barangan keperluan seperti ini, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan perbelanjaan terutama untuk mereka yang berkeluarga besar.

"Saya berharap kalau boleh anjurkan jualan murah ini dengan lebih kerap kerana manfaatnya cukup besar untuk pengguna," katanya ketika ditemui sempena perasmian program JBD peringkat kebangsaan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan turut melancarkan Pusat Khidmat Sehenti@Pasar Tani, Aplikasi Mobile Pasar Tani dan FAMA Ke Arah QR Pay.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Tan Sri Badruddin Amiruldin.

Program JBD adalah antara inisiatif kerajaan bagi memberi peluang kepada rakyat mendapatkan barang keperluan harian seperti ikan, ayam, sayur dan buah-buahan yang dijual dengan potongan harga antara lima dan 20 peratus kecuali barangan kawalan.

Dianggarkan lebih 10,000 pengunjung membanjiri perasmian JBD peringkat kebangsaan itu yang ada antaranya tiba seawal jam 8 pagi bagi mendapatkan barangan keperluan harian.

Peneroka dari FELDA Chini 2, Abd Hamid Wahab, 69, mencadangkan supaya jualan murah itu diadakan dua minggu sekali di setiap kawasan terutama di luar bandar dan kampung seperti di gugusan FELDA Chini.

"Buat lebih banyak program seperti ini di luar bandar kerana ia memberi manfaat besar dan memberi pilihan kepada pengguna dalam mendapatkan barangan keperluan dengan harga murah.

"Tetapi pada masa sama kena jaga kedai runcit kerana kalau dianjurkan setiap minggu mungkin akan menjejaskan mereka, sebaiknya buat dua minggu sekali," katanya.

INFO

# Program Jimat Belanja Dapur (JBD) adalah antara program FAMA dikategorikan sebagai Sentuhan FAMA di Hati Rakyat

#Program Jimat Belanja Dapur (JBD) dilaksanakan di 718 outlet jualan Pasar Tani, 426 AgroBazaar Kedai Rakyat (AKR), 110 AgroBazaar Rakyat 1Malaysia (ABR1M), 6 MyFarm Outlet dan program MyBestBuy (NBOS) di seluruh negara

# Pengguna dapat menikmati penjimatan di antara RM5 hingga RM20 seminggu apabila membelanjakan RM100 di pasar tani dan outlet runcit FAMA

Berita Harian X