Sabtu, 31 March 2018 | 12:25pm

Festival Gegaria 2018 penuhi cita rasa semua golongan

KUALA LUMPUR: Menaiki bas, kemudian kereta api dan selepas itu mengambil Grabcar pula, adalah antara 'pengembaraan' sebahagian pengunjung yang semata-mata mahu hadir dan merasai suasana kemeriahan Festival GegaRia 2018 di Pusat Pameran & Konvensyen MATRADE, di sini sejak awal pagi tadi.

Sekumpulan 12 pelajar dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Perdana Shah Alam sanggup bangun seawal enam pagi sebelum menaiki bas pada jam 7 pagi, untuk tidak melepaskan peluang berkunjung ke festival ini.

Siti Nornajjua Arzar, 20, berkata, kunjungannya bersama rakan-rakan adalah bagi melihat sendiri cara pengurusan penganjuran festival berprestij itu yang menjadi salah satu keperluan subjek dipelajari di bawah kursus DiplomaTeknologi Kreatif.

"Bila dapat tahu sahaja mengenai festival ini di Kuala Lumpur selepas siri jelajah Gegaria Fest di Ipoh dan Kuantan sebelum ini, kami terus merancang ke sini walaupun terpaksa bangun seawal enam pagi menaiki bas, kereta api dan Grabcar.

"Kami melihat aktiviti yang diadakan di festival ini serba lengkap malah memenuhi keperluan semua golongan peringkat umur sekaligus menepati kehendak pengunjung," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Antara pengunjung yang hadir sempena Gegaria Fest di Pusat Konvensyen dan pameran MATRADE, Siti Nornajjua Arzar, 20, (kiri) dan Wan Aishah Wan Yusof, 53. NSTP
Antara pengunjung yang hadir sempena Gegaria Fest di Pusat Konvensyen dan pameran MATRADE, Siti Nornajjua Arzar, 20, (kiri) dan Wan Aishah Wan Yusof, 53. NSTP

Sementara itu, surirumah, Wan Aishah Wan Yusof, 53, berkata, dia bersama dua anak lelakinya menggunakan perkhidmatan Grabcar dari rumahnya di Selayang dan tiba pada jam 9.30 pagi untuk memeriahkan festival berkenaan.

"Saya memang tidak pernah melepaskan peluang datang ke mana-mana konsert, festival dan karnival percuma yang dianjurkan terutamanya seperti Jom Heboh dan Gegaria Fest yang sangat menarik untuk hiburan seisi keluarga.

"Saya sempat bermain congkak gergasi bersama anak dan menyertai uji bakat nyanyian. Kalau sempat malam ini saya mahu melihat persembahan selebriti terkemuka tanah air menerusi Konsert #GoGegaria," katanya.

Antara pengunjung yang menyertai aktiviti senam robik dan zumba sempena Gegaria Fest di Pusat Konvensyen dan pameran MATRADE. - Foto Saddam Yusoff
Antara pengunjung yang menyertai aktiviti senam robik dan zumba sempena Gegaria Fest di Pusat Konvensyen dan pameran MATRADE. - Foto Saddam Yusoff

Selain konsert, Festival Gegaria 2018 juga menyajikan pelbagai aktiviti menarik di beberapa zon iaitu Zon Makan-Makan, Zon Throwback Tunnel, Zon Gaya Hidup, Zon Komuniti dan Zon Hiburan GegaRia.

Ia turut menyaksikan kemunculan maskot watak Ejen Ali yang mencuri tumpuan penonton cilik.

Acara kemuncak konsert #GoGegaria malam ini bakal menyaksikan pengunjung dihiburkan dengan persembahan Noh Salleh, Akim & The Majistret, Kugiran Masdo, Bittersweet dan Bunkface.

Ikuti galeri gambar Festival GegaRia 2018 di pautan www.bharian.com.my/taxonomy/term/13/2018/03/405718/festival-gegaria-gami...

Antara pengunjung yang hadir sempena Gegaria Fest di Pusat Konvensyen dan pameran MATRADE. - Foto Saddam Yusoff
Antara pengunjung yang hadir sempena Gegaria Fest di Pusat Konvensyen dan pameran MATRADE. - Foto Saddam Yusoff
Berita Harian X