Isnin, 26 March 2018 | 6:13pm

Wanita aset industri kraf

KUALA LUMPUR: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, menyeru golongan wanita untuk terus berkecimpung dalam industri kraf yang berkembang maju menerusi potensi dan prospek industrinya.

Beliau berkata, penyertaan 3,471 wanita atau 65 peratus daripada jumlah keseluruhan usahawan kraf membuktikan wanita sebagai aset penting yang berupaya memacu pertumbuhan industri kraf negara ke tahap lebih tinggi.

"Selari dengan itu, usahawanita kraf menyumbang sebanyak 29 peratus atau RM148 juta di peringkat tempatan dan antarabangsa.

"Berdasarkan Laporan Akhir Mega Science 3.0 - Creative Industry Sector oleh Akademi Sains Malaysia, industri kreatif Malaysia antaranya industri kraf dijangka semakin berkembang menjelang 2035.

"Jualan kraf dijangka meningkat kepada RM1.02 bilion menjelang tahun 2025 dan RM2.2 bilion pada 2035, dengan sumbangan sebanyak dua peratus kepada indsutri kreatif," katanya pada Majlis Perasmian Hari Kraf Kebangsaan 2018 di Kompleks Kraf, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz; Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Wira Mas Ermieyanti Samsudin; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Rashidi Hasbullah; Pengerusi Kraftangan Malaysia, Datuk Wira Ab Ghaffar A Tambi dan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Ibrahim Ismail.

Pada majlis berkenaan, beliau turut menyampaikan Anugerah Tokoh Kraf Negara kepada Azizah Mohd Yusuf dan Anugerah Usahawan Kraf Muda kepada Amir Harith Mat Kashim dan Emily Jeneble dari Keningau, Sabah.

Rosmah berkata, usahawan kraf berpeluang mempromosi dan memasarkan produk sehingga ke luar negara melalui media sosial seperti Facebook, Instagram dan Youtube.

Beliau menyarankan lebih ramai lagi usahawan kraf menggunakan kaedah moden itu seiring dengan peredaran pasaran semasa.

Sementara itu, Mohamed Nazri berkata, usaha memacu industri kraf bukan saja memberi manfaat kepada usahawan kraf, malah memberi limpahan faedah kepada industri lain, termasuk pelancongan, inap desa, sektor perkhidmatan dan industri hiliran.

"Kraftangan Malaysia menyasarkan nilai jualan bagi 2018 sebanyak RM500 juta. Ia berdasarkan jumlah jualan produk kraf sehingga Februari 2018 iaitu RM74.7 juta dengan kemampuan seramai 5,361 usahawan kraf.

"Hala tuju Kelestarian Industri Kraf yang diperkenalkan tahun ini, berupaya memperkasa program pembangunan sedia ada bagi memastikan produk kraft tempatan terus relevan," katanya.

Beliau turut berharap, usahawan kraf menerokai perkara baharu terutamanya teknik pengeluaran serta kaedah pemasaran digital supaya mampu memaksimumkan pendapatan.

ISTERI Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor bergambar bersama orang ramai pada Majlis Perasmian Hari Kraf Kebangsaan 2018 di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA
ISTERI Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor bergambar bersama orang ramai pada Majlis Perasmian Hari Kraf Kebangsaan 2018 di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X